PRK Chempaka: UMNO Jadi Bahan Kempen PAS

Pengkalan Chepa – Empat calon bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di sini terlepas daripada menjadi bahan kempen PAS semasa jentera parti itu menyampaikan ceramah secara serentak di empat lokasi berlainan sekitar kawasan DUN itu malam tadi.

 

Sebaliknya, PAS menjadikan platform tersebut yang sepatutnya berfungsi bagi memperkenalkan calon mereka kepada pengundi di kawasan itu sebagai tempat menghentam parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak ada kena mengena dengan PRK yang akan berlangsung pada 22 Mac depan.

 

Umum mengetahui bahawa BN tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRK DUN Chempaka ini dan ia hanya disertai oleh empat calon bebas yang terdiri daripada calon yang menggunakan lambang kunci, buku, pen dan gajah.

 

Pemerhatian The Rakyat Post di satu program ceramah yang diadakan di Chabang 3, Sabak di sini mendapati, kepimpinan PAS yang turut mengambil bahagian dalam sesi ceramah itu, walaupun membongkar beberapa kelemahan kerajaan persekutuan pimpinan BN, namun, kurang melakukan serangan peribadi terhadap individu tertentu dalam parti itu.

 

Keagresifan itu dapat dilihat ketika Ahli Parlimen Bachok, Marzuk Shaari menyampaikan ceramahnya dengan membawakan beberapa isu seperti isu kehilangan pesawat MH 370 milik Malaysia Airlines System (MAS) pada 8 Mac tahun lalu.

 

Beberapa perkara lain turut dijadikan modal oleh Marzuk dalam ceramahnya dan kesempatan sama turut diambil oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, yang menambah beberapa perkara lain untuk menyokong hujah-hujah yang disampikan Marzuk pada ceramah itu.

 

Bagaimanapun, pembukaan sesi ceramah PAS yang disampaikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat mempunyai sedikit kaitan dengan calon-calon yang bertanding apabila beliau mempersoalkan langkah calon bebas yang mahu mencabar parti yang memperjuangkan Islam itu.

 

“Buat apa mereka cuba untuk melawan PAS yang sememangnya memperjuangkan Islam di Kelantan ini?

 

“Mereka yang berbuat begini sebenarnya ada sebab tertentu sehingga berani menentang Islam,” katanya pada sesi ceramah itu yang dihadiri kira-kira 150 orang.

 

Sementara itu, seorang pendengar ceramah yang hadir, Abdullah Osman, 54, ketika ditemui berpendapat, PAS mungkin tidak mempunyai modal untuk mencari kelemahan calon bebas yang menjadi pencabar kepada mereka pada PRK tersebut.

 

Katanya, beliau yang bukannya penduduk di Chabang 3, Sabak, datang untuk mendengar ceramah itu pada mulanya berharap agar dapat menyaksikan pendedahan PAS terhadap calon-calon bebas yang bertanding pada PRK kali ini.

 

“Buat apa mereka jaja cerita UMNO dalam ceramah ini. Parti itu tidak bertanding dan tidak ada kaitan langsung dengan penduduk di sini.

 

“Sepatutnya mereka mencari satu bahan ceramah yang boleh ditujukan kepada calon bebas yang akan melawan mereka dan bukannya melakukan serangan terhadap UMNO,” katanya.

 

Bagaimanapun, calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad yang hanya tiba setengah jam sebelum program tersebut tamat jam 12 malam, membuat pendekatan berbeza apabila beliau hanya memperkenalkan diri kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.