Polis Diminta Siasat Kematian Bekas Ahli DAP

KUALA LUMPUR – Polis diminta menyiasat segera kaitan kematian bekas ahli DAP, Danny Lim, 69, akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan perbuatan ugutan bunuh beberapa hari sebelum mendiang sakit.

 

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao mendakwa, mendiang telah menghubunginya minggu lalu memberitahu dia dalam keadaan takut dan tertekan selepas menerima tiga panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengugut mahu membunuhnya.

 

Jelas Ramesh, beliau percaya ugutan bunuh itu ada kaitan dengan tindakan Danny membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung apa yang didakwa berlaku penyelewengan membabitkan DAP kawasan Seputeh.

 

“Danny memberitahu saya dia takut kerana selepas mendapat ugutan bunuh menerusi panggilan telefon, terdapat pergerakan luar biasa kereta dan motosikal di kawasan rumah mendiang. Tidak lama selepas itu saya mendapat berita Danny tenat akibat diserang sakit jantung.

 

“Sepatutnya hari ini, Danny hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes saman melibatkan DAP Seputeh tetapi malangnya, mendiang meninggal dunia yang saya percaya ada kaitan dengan cubaannya untuk menegakkan kebenaran,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

 

Menurut Ramesh, pihak berkuasa perlu menyiasat kematian Danny itu daripada segenap sudut dan jika benar terdapat bukti ugutan bunuh sehingga membawa kepada serangan jantung yang akhirnya meragut nyawa mendiang, tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak bertanggungjawab.

 

Pada masa yang sama, beliau juga menuntut SPRM mengambil tindakan segera berhubung laporan penyelewengan dana oleh DAP Seputeh kerana selaku bekas audit kepada DAP kawasan berkenaan, Danny cukup arif daripada mana duit diperoleh serta bagaimana wang itu dibelanjakan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.