Penggunaan ‘Dayak’ Dalam Dokumen Rasmi Dikemuka Ke Kabinet

Jawatankuasa Teknikal Mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet tidak lama lagi berhubung penggunaan perkataan ‘Dayak’ menggantikan ‘Lain-lain’ bagi ruangan kaum dalam dokumen rasmi.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata jawatankuasa itu yang bermesyuarat baru-baru ini mencapai kesepakatan.

 

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya pemberita semasa melawat ke kampung Bungin di Spaoh dalam kawasan Parlimen Betong hari ini.

 

“Kami akan mengemukakannya kepada Kabinet dalam masa 2 hingga 3 minggu dari sekarang.

 

“Kami akan mengumumkannya selepas Kabinet membuat keputusan,” kata Uggah selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak mengenai isu itu.

 

Seorang lagi pengerusi mewakili masyarakat Bumiputera Sabah ialah Datuk Seri Dr Maximus J Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau.

 

Sabah juga bercadang untuk menggantikan perkataan ‘Lain-lain’ dengan perkataan yang lebih sesuai.

 

“Syor itu adalah berdasarkan maklum balas dan pandangan yang dikumpul daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan Dayak dam masyarakat itu sendiri,” kata Uggah.

 

Sementara itu, dalam temu bual dengan TV1 yang disiarkan secara langsung pada 26 Februari lepas, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata beliau tidak membantah jika perkataan ‘Lain-lain’ digantikan dengan perkataan ‘Dayak’ dalam borang rasmi di negeri ini.

 

Adenan berkata beliau menyerahkannya kepada jawatankuasa teknikal untuk membuat cadangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.