Jenaka, Nyanyian Jangan Berlebihan – Mufti Kelantan

KOTA BHARU – Unsur nyanyian dan jenaka tidak salah dalam berdakwah atau ceramah tetapi jangan berlebihan, bimbang memudaratkan sehingga dianggap sebagai penglipur lara.

 

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, berdakwah adalah medium bagi menyampaikan mesej Islam melalui dua pendekatan iaitu secara lisan dan bilhal (bentuk program).

 

Menurutnya, mungkin isu yang disentuh melibatkan dakwah secara lisan, yang mana pendakwah menggunakan elemen itu sekadar mahu memenangi hati pendengar dengan menyebut bahan-bahan yang boleh membuatkan orang tertawa.

 

“Jangan berlebihan sekadar untuk menarik minat cukuplah, macam gula kalau sikit tidak apa, tetapi bila makan berlebih, ia memudaratkan.

 

“Pendakwah jangan sampai boleh dianggap penglipur lara, kita faham ada pendakwah buat begitu sebab mahu mencuit hati perasaan pendengar dan ia baik agar mereka tidak bosan tetapi jaga had,” katanya mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan terhadap trend pendakwah dan penceramah masa kini yang dilihat lebih mempunyai perwatakan sebagai penglipur lara.

 

Beliau berkata, setakat ini pendakwah di negara ini masih terkawal dan kenyataan Mufti Perak itu sekadar nasihat agar jangan terlalu lara.

 

Selain itu katanya, pendakwah juga perlu menjaga tutur kata dalam berdakwah menyampaikan agama Islam, bukan dengan mengeluarkan kata-kata kurang menyenangkan.

 

“Dakwahlah dengan bijaksana, contoh-contoh yang baik, kalau dalam bentuk debat berilah hujah-hujah terbaik. Guna perkataan kesat, maki-hamun dan mencaci, itu bukan dakwah Islam,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.