Video: Jangan Jadi ‘Jemuan’ Dalam UMNO – PM

Alor Setar – Konvensyen UMNO Kedah yang julung kalinya telah dirasmi oleh Datuk Sri Najib Tun Razak sambil ditemani oleh Dato Seri Hj Mukhriz Mahathir, Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah, Dato Paduka Ahmad Bashah, Dato Seri Mahawangsa Mahadzir Khalid, Dato Seri Azeez Rahim dan Dato Othman Aziz.

 

Apa yang menarik dalam ucapan Perasmian sebentar tadi, apabila Perdana Menteri turut berjanji akan membawa rancangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) ke mesyuarat kabinet.

 

Kata-kata beliau itu bagi menjawab kembali saranan Dato Seri Hj Mukhriz yang mahu Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan dan memberi kebenaran kepada Kerajaan Kedah membina Lapangan Terbang tersebut bagi menyuburkan lagi ekonomi di Kedah.

 

“Kita tunggu report (laporan) dulu, belum siap lagi reportnya. Ia akan dibentangkan kepada menteri dan kabinet, mudah-mudahan hasrat dan niat itu, Tuhan akan makbulkannya,” katanya pada majlis perasmian itu yang turut dihadiri Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

 

Kerajaan negeri bercadang membina KXP bernilai RM1.6 bilion bagi merangsang ekonomi di utara tanah air.

 

Sementara itu perdana menteri turut memberi reaksi terhadap permintaan kerajaan negeri supaya kerajaan pusat menukarkan pinjaman yang dibuat Kedah sebelum ini kepada geran.

 

“Saya kena tengok secara keseluruhannya, kalau hendak hapuskan loan (pinjaman) saya kena tengok keseluruhannya. Mana yang mampu, insya-Allah saya akan terus membantu Kedah,” katanya.

 

Selain dari itu Najib yang juga Presiden UMNO memberi nasihat para perwakilan, supaya jangan jadi ‘jemuan’ (hantu) dalam UMNO.

 

“Jangan cantas mencantas, jangan ada dua kumpulan dalam bahagian kerana tindakan itu akan melemahkan parti” katanya.

 

 

Beliau juga mahu melihat parti UMNO di Kedah, lebih kukuh dan terus memenangi pilihanraya yang akan datang.

 

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan melindungi apa-apa kesalahan dan tindakan yang dikenakan mengikut undang-undang.

 

“Saya sebagai perdana menteri dan presiden parti akan sentiasa berusaha yang terbaik untuk parti dan negara. Jikalau ada permasalahan, sama-sama kita tangani. Jikalau ada isu-isu, sama-sama kita tanganinya. Kalau perlu kita buat secara telus, kita buat cara telus.

 

“Kalau ada apa-apa kesalahan, kita tidak akan lindungi, kita betulkan, kita ambil tindakan ikut undang-undang. Kedaulatan undang-undang kita mesti pertahankan,” kata beliau.

 

Konvensyen Umno Kedah itu dihadiri perwakilan daripada kesemua 15 Umno Bahagian di negeri itu.

 

Terdahulu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ahli-ahli UMNO juga perlu mencari kesepakatan yang membawa berkat iaitu menguntungkan semua pihak dan bukan untuk seseorang, keluarga mahupun sesuatu kaum semata-mata.

 

Ahli-ahli UMNO perlu bekerja dengan satu hati, menurut arahan, mengetepikan kepentingan diri dan sanggup berkorban jika mahu terus mengekalkan kemenangan di negeri ini.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen UMNO Kedah di TH Hotel di sini hari ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.