Adam Adli, Mandeep Singh Ditangkap

Kuala Lumpur – Aktivis Adam Adli Abdul Halim dan sekretariat #KitaLawan Mandeep Singh ditangkap sebentar tadi selepas mengadakan protes senyap di hadapan kompleks membeli belah Sogo di tengah ibu kota hari ini.

 

Kedua-dua mereka ditangkap oleh kira-kira 10 pegawai polis selepas protes itu selesai dan dibawa menaiki van yang akan menghantar mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

 

Tangkapan itu dibuat kurang 12 jam selepas Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong ditahan di balai yang sama dalam satu siri tindakan polis terhadap penganjur perhimpunan pada 7 Mac itu, yang menyeru pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan.

 

Ini merupakan tangkapan kali kedua bagi Adam, berhubung pembabitannya dalam #KitaLawan, selepas kali pertama pada 21 Februari bersama koordinator Jingga 13 PKR, Fariz Musa, apabila kedua-duanya ditahan di lokap untuk satu malam.

 

Ketika dihubungi, Ahli Dewan Undangan Negeri Teja dari PKR, Chang Lih Kang memberitahu The Malaysian Insider, Adam dan Mandeep ditangkap sebaik selepas menyertai demonstrasi #KitaLawan hari ini yang diadakan secara “kecil dan aman”.

 

Katanya, mereka ketika ini ditahan di balai polis Jinjang, sambil menambah yang beliau menjangka mereka akan ditahan untuk satu malam.

 

“Melihatkan daripada cara mereka dibawa terus ke Jinjang, dari Dang Wangi, saya percaya mereka akan bermalam di lokap,” kata Chang.

 

“Saya tak tahu kenapa polis perlu tangkap mereka. Himpunan #KitaLawan hari ini sangat kecil dan aman. Ia lebih kepada protes duduk, dengan semua orang duduk dan memegang sepanduk. Beberapa ucapan dibuat dan lagu dinyanyikan, kemudian kami bersurai.”

 

Chang berkata mereka akan berhimpun di luar balai polis itu malam ini sambil menambah yang Teo juga akan bermalam di lokap balai itu malam ini.

 

Teo merupakan pemimpin Pakatan Rakyat ke-6 ditahan selepas himpunan #KitaLawan besar yang diadakan pada 7 Mac lepas.

 

Selain mendesak pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan, protes Sabtu lepas itu juga mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.

 

Polis pada mulanya membenarkan himpunan itu tetapi kemudiannya mula menahan pemimpin PR yang terlibat seorang demi seorang.

 

Himpunan di tengah ibu kota itu dianggarkan menarik sekitar 5,000 hingga 10,000 peserta. -TMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.