30,000 Jayakan Malam Cinta Rasul

BAGAN SERAI – Malam Cinta Rasul, Kerian Berselawat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri semalam dengan menampilkan tokoh qasidah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf berjaya menarik kehadiran lebih 30,000 orang.

 

Pengerusi Yayasan Kebajikan Islam Darul Ridzuan (Kadir), Datuk Azhar Ahmad berkata, pihaknya tidak menjangkakan kehadiran orang ramai yang begitu banyak termasuk daripada penduduk yang menetap di sempadan negeri Kedah dan Pulau Pinang.

 

Menurut Azhar, paling menggembirakan, program tersebut mendapat sambutan daripada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan belia, kanak-kanak, dewasa dan warga emas yang hadir bersama keluarga.

 

“Program ini merupakan kali keempat penganjurannya setelah kita adakan di Dataran Ipoh pada tahun 2012 dan Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut tahun lalu dengan kehadiran masing-masing mencatatkan 15,000 dan 20,000 orang.

 

“Namun, untuk tahun ini, satu rekod baharu dicatatkan apabila 30,000 orang hadir beramai-ramai di Stadium Mini Bagan Serai untuk menyertai program ini bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Orang ramai yang hadir memenuhi padang utama stadium berkenaan sejak petang, turut bersolat maghrib dan isyak secara berjemaah.

 

Dalam pada itu, Azhar berkata, pihaknya bercadang menjadikan program Malam Cinta Rasul itu sebagai acara tahunan di negeri ini yang akan diteruskan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan mahupun pembangkang.

 

“Kita utamakan semangat kekeluargaan dalam Islam yang menjadi agenda utama. Ketepikanlah perbezaan fahaman demi perpaduan ummah dan semangat cintakan rasul,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.