CYBERJAYA – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Fadwah Anuwar hari ini menawarkan diri bertanding jawatan ketua pergerakan itu dengan misi memastikan parti terus relevan di persada politik tanahair.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Kuantan berkata, perubahan landskap politik negara kini memberi cabaran kepada semua parti politik untuk melakukan anjakan paradigma bagi kekal relevan.
“Kedinamikan ini semestinya memberi cabaran kepada semua parti politik. Puteri UMNO juga tidak terkecuali.
“Cabaran ini menuntut Puteri UMNO untuk melakukan suatu anjakan paradigma bagi memastikan kami kekal relevan.
“Asas kami perlu diperkukuhkan semula, berfikir diluar kotak dan keluar daripada zon selesa sesuai dengan kehendak semasa namun dalam masa yang sama utuh mempertahankan naratif perjuangan
“Strategi perlu tepat pada sasaran. Dalam kata lain. Puteri UMNO harus mempunyai kelainan, berwajah baru dan berimpak tinggi.
“Dengan Lafaz Bismillahirrahmannirrahim. Saya Fadwah Binti Anuwar menawarkan diri sebagai Calon Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bagi penggal 2023-2026.
Bersama kita maju ke hadapan. Puteri MOVE!,”katanya, menerusi satu kenyataan di Facebook beliau sebentar tadi.