Presiden FAM : Reaksi Penyokong, Bekas Pemain

KOTA BHARU – Pelbagai reaksi berbeza berhubung perebutan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa.

 

Presiden Kelab Penyokong TRW Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain berkata, pertandingan itu adalah satu persaingan sihat dalam menentukan siapa yang berhak untuk melakukan transformasi ke atas bola sepak Malaysia, Petik BH.

 

Katanya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mempunyai banyak idea dan inovasi yang boleh dilakukan sejajar dengan apa yang baginda telah lakukan kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

 

“Namun dari segi pengalaman, Annuar dilihat mempunyai kemampuan dengan idea lebih bernas berbanding TMJ yang masih baharu, walaupun berjaya mengubah landskap JDT menjadi pasukan digeruni di rantau Asia,” katanya.

 

Bekas pemain Kelantan dan kebangsaan, Yassin Mohd Noor bagaimanapun berkata Annuar harus menarik diri dengan memberi laluan kepada TMJ untuk menerajui kepimpinan FAM.

 

Katanya, imej Annuar sedikit tercalar dengan pelbagai kontroversi yang menimpa dirinya, sekali gus bakal memberi kelebihan kepada TMJ untuk memenangi kerusi panas itu.

 

“Annuar wajar memberikan tumpuan kepada tugas sebagai wakil rakyat dan membantu mengembalikan semula era kegemilangan bola sepak negeri ini yang agak suram sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.