Penunjuk Perasaan Berarak Minta Trump Berhenti Hina Rakyat Mexico

BANDAR RAYA MEXICO – Berpuluh-puluh ribu orang berarak di jalan raya di sekurang-kurangnya 18 bandar di Mexico kelmarin untuk menuntut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya menghormati rakyat negara itu.

 

Mereka melaungkan slogan penyatuan dan secara simbolik memecahkan tembok yang bakal dibina Trump di sempadan AS-Mexico.

 

Perarakan anjuran beberapa persatuan komuniti di bawah hashtag #VibraMexico itu berlangsung secara ‘aman dan berkecuali’ bagi menunjukkan semangat patriotik dan menggesa agar hak pendatang tanpa izin di AS dihormati.

 

Trump sebelum ini berjanji akan mengusir imigran tanpa dokumen pengenalan yang sah dari AS.

 

Tunjuk perasaan terbesar berlangsung di Bandar Raya Mexico dengan disertai kira-kira 20,000 orang, demikian menurut angka Sekretariat Keselamatan Awam di ibu negara Mexico itu.

 

Seorang peserta demonstrasi itu, Gabriela Torres berkata, protes tersebut bertujuan untuk menyampaikan mesej jelas kepada Presiden AS.

 

“Kami marah, beliau (Trump) telah menghina kami, beliau seorang lelaki jahat yang tidak menghormati kami,” katanya.

 

Torres disertai oleh ribuan penunjuk pe­rasaan yang membantah dasar imigresen Trump. Dia menggelarkan Presiden AS itu sebagai ‘tidak siuman’ dan menyamakan Trump dengan diktator Jerman, Adolf Hitler.

 

Sebahagian penunjuk perasaan itu membawa poster tertera slogan seperti ‘bina jambatan bukan tembok’, ‘pekerja Mexico bangunkan AS’ dan ‘Jadikan Mexico Hebat Semula’. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.