PAS Tak Efektif Jika Enggan Kerjasama Kata Dr Mahathir

PUTRAJAYA -Pas didakwa akan menjadi parti yang tidak efektif dalam politik negara sekiranya terus berdegil dan kekal dalam pakatannya sendiri tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Beliau berkata, Pas juga tidak akan memenangi pilihan raya dan tidak berupaya untuk berbuat apa-apa untuk ahlinya atau negara sekiranya tidak bekerjasama dengan sesiapa, sama ada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang, petik BH.

 

“Pengalaman mereka menunjukkan mereka tidak pernah menjadi kerajaan di peringkat pusat, selagi mereka tidak bersekutu (bekerjasama) dengan parti lain.

 

“Kita (PPBM) sudah beri masa kepada mereka sebulan untuk buat keputusan, sama ada mahu bekerjasama dengan parti ini atau sebaliknya.

 

“Kita dah buat segala yang perlu, apa lagi boleh kita buat (untuk mengajak mereka bekerjasama). Saya tidak mahu (sampai) perlu merangkak atau cium kaki mereka (pemimpin PAS). Cukuplah.

 

“Bukan masalah kita jika mereka (PAS) terus berdegil untuk tidak bekerjasama, cuma mereka kena ingat, mereka tidak boleh memenangi mana-mana pilihan raya dengan bersendiri,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut mengakui sekiranya PAS terus kekal dengan pakatannya sendiri dan menyatakan kesediaan untuk menghadapi persaingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang, ia seolah-oleh menunjukkan parti itu memihak kepada BN.

 

“Mana-mana parti pun, kalau bertanding mewujudkan tiga penjuru, niatnya adalah untuk menyokong BN,” katanya.

 

Mengulas mengenai empat wakil rakyat DAP di Melaka yang keluar parti Ahad lalu berikutan kerjasama DAP dengannya, Dr Mahathir berkata itu hanyalah alasan bagi mereka yang berfikiran sempit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.