Kit Siang Nafi DAP Lari Dari Perjuangan Asal

MELAKA – Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang tetap mempertahankan perjuangan parti itu yang didakwa sentiasa selaras dengan prinsip dan matlamat untuk negara Malaysia yang lebih baik.

 

Menurut beliau yang terkejut dan marah dengan alasan diberikan oleh tiga wakil rakyat dan seorang ahli parlimen di negeri ini apabila berpaling tadah berikutan menganggap DAP telah menyimpang daripada perjuangan asalnya.

 

“Kami tidak membuat sebarang pembohongan dalam politik, bermain politik atau mengamalkan politik yang menakutkan, malah tidak mengkhianati prinsip parti dan kami tidak pernah menyimpang daripada prinsip.

 
“Kita tidak mahu menjadi MCA kedua, kami DAP dan akan kekal sebagai DAP, mereka yang mendakwa kononnya DAP sebagai parti menyimpang adalah tidak benar,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan di sekitar Melaka, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew yang juga Adun Bandar Hilir serta Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong selaku Adun Ayer Keroh.

 

Sinar Harian Isnin lalu melaporkan tiga wakil rakyat DAP iaitu Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong), manakala seorang ahli parlimen, Sim Tong Him (Kota Melaka) mengumumkan mereka keluar parti.

 

Selain meletakkan alasan DAP telah menyimpang daripada perjuangan asal, mereka juga mendakwa usaha untuk memenangi sokongan Melayu di dalam DAP mengikut apa yang MCA lakukan sebagai cara yang berbahaya untuk memenangi sokongan Melayu.

 

Pada sidang media berkenaan, Kit Siang turut menjelaskan bahawa kunjungannya ke Melaka bertujuan untuk menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat negeri ini.

 

“Di sinilah saya bermula dan seorang ahli parlimen serta tiga Adun telah berpaling tadah, saya fikir kita perlu datang ke sini.

 

“Seperti yang saya katakan, saya memohon maaf kepada rakyat atas tindakan mereka yang keluar parti. Saya memohon maaf kepada rakyat negeri Melaka kerana pembelotan seorang ahli parlimen dan tiga Adun itu,” katanya.

 

Ketika ditanya sama ada kerjasama DAP dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad beliau menjelaskan perjuangan mereka untuk ke arah Malaysia lebih baik.

 

Bercakap mengenai peluang DAP untuk merampas kembali empat kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang Kit Siang menyatakan bahawa dia bukan seorang tukang telek tetapi mahu menyeru rakyat Melaka untuk meneruskan sokongan mereka terhadap perjuangan DAP.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.