Kedah Cadang Bina Stadium Bola Sepak Baharu

 

ALOR SETAR – Kedah bercadang membina sebuah stadium bola sepak baharu berkapasiti lebih 60,000 penonton yang akan dibina di luar bandar raya ini bagi menampung jumlah kehadiran penonton yang semakin meningkat di Stadium Darulaman ketika ini kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

 

Beliau berkata, beberapa kertas kerja telah diterima daripada pihak syarikat swasta termasuk mereka bentuk kompleks mengikut kesesuaian dan kos untuk dinilai sebelum dimuktamadkan, petik Bernama.

 

“Kita nak usaha pembinaan stadium baharu secepat mungkin di luar kawasan bandar raya Alor Setar supaya semangat pasukan disemarakkan lagi serta memberi keselesaan kepada peminat dan penyokong,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke atas pemain dan pegawai pasukan Hijau Kuning Kedah yang menjalani latihan di padang bola sepak Peremba di sini, hari ini.

 

Katanya, kerajaan negeri juga mahu lebih ramai penglibatan pihak swasta dalam projek ini agar dapat disegerakan.

 

“Kita nak bina stadium baharu ini di luar Alor Setar dan memerlukan kawasan yang luas kerana bukan sahaja stadium dibina, tetapi akan dilengkapi kemudahan pusat perniagaan, gerai makanan dan jualan serta pusat sukan, maka penglibatan pihak swasta kita alu-alukan ” katanya.

 

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, stadium lama yang berkapasiti 30,000 penonton tidak lagi mampu menampung jumlah penyokong terutama pada perlawanan-perlawanan penting.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.