Fasa Kedua Food Flotilla Bantu Rohingya Diteruskan

CHITTAGONG – Fasa ke­dua misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar dite­ruskan hari ini setelah Nautical Aliya tiba di pelabuhan Chittagong pada pukul 12.30 tengah hari (waktu Malaysia) hari ini.

 

Ketua misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, walaupun kerajaan Bangladesh hanya membenarkan 25 sukarelawan untuk turun ke kem pelarian, namun pihaknya akan terus berunding dengan kerajaan Bangladesh bagi membolehkan lebih ramai lagi sukarelawan diberi kebenaran untuk meninjau pro­ses pengagihan barangan sumbangan.

 

“Saya akan mengadakan per­bincangan dengan lebih lanjut de­ngan kerajaan Bangladesh dan lakukan yang terbaik untuk misi ini

 

“Saya juga akan terus berun­ding dengan mereka kerana ma­hu semua yang menyertai misi ini dapat turun ke kem pelari­an etnik Rohingya,” katanya sewak­tu membuat pengumuman kepada para sukarelawan di atas Nautical Aliya hari ini.

 

Mengikut perancangan awal, 25 daripada 182 sukarelawan yang dibenarkan turun dari kapal akan terus menuju ke Cox Bazar dan memasuki kem pelari­an Kutupalong hari ini.

 

Perjalanan dengan menggunakan jalan darat dari Chittagong ke Cox Bazar akan mengambil masa lapan atau sembilan jam.

 

Kira-kira 2,000 tan barangan bantuan yang dibawa Nautical Aliya dijangka diserahkan kepada etnik Rohingya di kem pela­rian di Kutupalong dan Teknaf.

 

Penyerahan itu akan turut di­bantu oleh Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh.

 

Kaedah tersebut merupakan jalan terbaik meman­dang­kan kerajaan Bangladesh tidak dapat menjamin keselamatan para sukarelawan jika mereka berada di kem pelarian.

 

“Kerajaan Bangladesh juga memaklumkan mereka bimbang ada pihak yang ingin menggugat hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh de­ngan melakukan perkara yang boleh mendatangkan kecede­raan kepada sukarelawan misi ini.

 

“Pihak sekretariat flotila tidak mahu mengambil sebarang ri­siko terhadap keselamatan para sukarelawan, justeru kita putuskan barangan ini diserahkan kepada IOM dan BDRCS untuk diagihkan kepada etnik Rohingya,” katanya.

 

Menurut Abdul Azeez, beliau telah meminta bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berhubung dengan kerajaan Bangladesh ba­gi menyatakan hasrat para sukarelawan yang ingin membantu etnik Rohingya di kem pelarian.

 

“Saya dan pihak sekretariat akan memaklumkan kepada para sukarelawan setiap langkah yang kita akan ambil untuk laksanakan misi ini,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.