Air Empangan Tertinggi AS Melimpah

 

LOS ANGELES – Penduduk yang tinggal di bawah empangan tertinggi Amerika Syarikat (AS) dekat bandar Oroville di California Utara di­arah berpindah selepas sebuah alur limpahnya dilaporkan akan pecah pada bila-bila masa akibat hakisan.

 

Hampir 200,000 penduduk di California Utara diminta ber­pindah sejak kelmarin berhubung ancaman itu.

 

Arahan perpindahan mengejut dibuat selepas pihak berkuasa berkata, sebuah alur limpah di Empangan Tasik Oroville akan pecah dan mengakibatkan kawasan pedalaman di sepanjang Sungai Feather dilanda banjir.

 

“Perpindahan segera dari kawasan rendah di Oroville dan hilir Sungai Feather adalah perlu.

 

“Ini bahaya sebenar dan bukan latihan kecemasan,” kata syerif Daerah Butte dalam satu kenyataan di media sosial.

 

Alur limpah kecemasan di Empangan Oroville, kira-kira 125 kilometer ke utara Sacramento telah mengalami hakisan teruk, kata Agensi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan dalam amarannya, manakala kegagalan struktur itu boleh menyebabkan pelepasan air tidak terkawal dari Tasik Oroville.

 

Sementara itu, penduduk dari kawasan rendah yang tergesa-gesa berpindah mengakibatkan beberapa lebuh raya dan stesen minyak tempatan mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk, lapor akhbar Sacramento Bee.

 

Akhbar sama menyatakan, perpindahan besar-besaran itu meliputi kawasan yang mempunyai lebih 200,000 penduduk.

 

Sewaktu mengeluarkan arahan perpindahan awal itu, Jabatan Sumber Air menyiarkan kenyataan di laman Twitter sekitar pukul 4.45 petang (waktu tempatan) kelmarin bahawa alur limpah kecemasan di Empangan Oroville mungkin runtuh ‘dalam masa sejam’.

 

Pada jam berikutnya, jabatan itu melepaskan lebih banyak air melalui alur limpah utama empangan itu sebagai usaha untuk mengurangkan hakisan pada alur tambahan tersebut.

 

Alur limpah kecemasan itu digunakan untuk melepaskan air buat kali pertama dalam tempoh 48 tahun selepas sebuah lubang besar terbentuk pada alur limpah utama empangan tersebut minggu lalu.

 

Empangan Oroville ialah yang tertinggi di AS, setinggi 235 meter.

 

“Empangan ini tidak rosak dan ia merupakan struktur berasingan,” kata jabatan itu.

 

Negeri California yang ber­depan musim kemarau sejak beberapa tahun lalu, menyaksi­kan ketibaan hujan lebat dan salji pada musim sejuk kali ini. – dpa/ Reuters/Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.