Terkejut Dengar Letupan Kuat

IPOH – Seorang peniaga surat khabar terkejut apabila terdengar letupan kuat hingga menyebabkan telinganya rasa sakit dalam kejadian letupan di Jalan Datuk Onn Jaafar berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, pagi tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, saksi, S Nirmala, 48, berkata, sebelum kejadian dia nampak kelibat seorang lelaki memakai topi keledar berada berhampiran pasu berkenaan sebelum meninggalkan kawasan itu dengan menaiki motosikal sejurus letupan itu berlaku.

 

“Bunyi letupan itu lebih kuat daripada mercun hingga menyebabkan kakak ipar saya menangis ketakutan sambil menekup telinga. Kami keluar lihat pasu di tepi jalan pecah dan serpihan berselerakan hingga ke tengah jalan.

 

“Saya tidak tahu hendak buat apa-apa. Saya hanya hubungi abang dan polis datang buat siasatan. Nasib baik tiada orang lalu di hadapan kedai ini kerana ia mencederakan jika terkena serpihan itu,” katanya ketika di temui di sini.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Anuar Othman berkata, setibanya dilokasi kejadian mendapati pasu hiasan yang terletak di tepi jalan itu pecah selari dengan kejadian yang dilaporkan.

 

Menurutnya, pihak forensik dan unit pemusnah bom yang menjalankan siasatan mendapati ia merupakan satu letupan kecil ‘low explosion’ dipercayai mercun.

 

“Hasil siasatan mendapati letupan berkenaan menyebabkan serpihan pasu bertebangan sehingga 4.5 meter hingga turut merosakkan papan tanda kedai berkenaan.

 

“Kita menjalankan siasatan dan gerakan mengesan suspek bagi mengetahui motif sebenar dia meletupkan pasu bunga berkenaan yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam,” katanya.

 

Anuar berkata, tiada kecederaan dilaporkan mahupun melibatkan kenderaan lalu lalang walaupun ia berhampiran dengan kawasan tumpuan orang ramai.

 

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat.

 

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak bermain mercun terutama pada musim perayaan kerana ia membahayakan kepada orang ramai,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.