Amerika Syarikat-ASEAN Bakal Perkukuhkan Lagi Hubungan

LOS ANGELES – Dalam era pasca Perang Dingin, amat jarang sekali Presiden Amerika Syarikat menyebut perkataan “Asia Tenggara” dalam ucapan ‘State of the Union’. Bagaimanapun, Presiden Barack Obama melakukannya pada bulan lepas.

 

Tidak pernah berlaku sebelum ini bagi presiden Amerika mengundang pemimpin-pemimpin daripada negara-negara kecil yang terletak kira-kira 14,000km jauhnya untuk mengadakan mesyuarat dengan mereka sahaja.

 

Obama melakukan itu buat pertama kalinya dengan mengundang 10 pemimpin dari Asia Tenggara termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri Sidang Kemuncak Amerika Syarikat-ASEAN di Sunnylands, dua jam perjalanan dengan kenderaan dari bandar raya ini.

 

Obama, pada mesyuarat Amerika Syarikat-ASEAN pada November di Kuala Lumpur, berkata beliau telah memperkukuhkan lagi kerjasama Amerika dengan ASEAN kerana ASEAN yang bersatu, bersepadu dan efektif yang terletak di tengah-tengah Asia merupakan satu kuasa bagi kestabilan, kemakmuran dan keamanan.

 

Pada mesyuarat di Kuala Lumpur, Amerika Syarikat-ASEAN telah meningkatkan hubungan mereka ke tahap baharu – perkongsian strategik bagi memperkukuhkan lagi hubungan mereka untuk dekad-dekad akan datang.

 

“Saya telah memperkukuhkan kerjasama Amerika dengan ASEAN kerana ASEAN yang bersatu, bersepadu dan efektif yang terletak di tengah-tengah Asia merupakan satu kuasa bagi kestabilan, kemakmuran dan keamanan.

 

“ASEAN memainkan peranan penting dalam menerajui orde berasaskan peraturan bagi Asia-Pasifik,” kata Obama pada Sidang Kemuncak Amerika Syarikat-ASEAN ke-3 pada November di Kuala Lumpur.

 

“Mungkin oleh kerana Obama telah dibesarkan di Asia Tenggara semasa zaman kanak-kanaknya dan beliau gemarkan nasi goreng, telah menjadi faktor penyumbangnya,” kata seorang diplomat dari rantau itu (Asia Tenggara).

 

Ia lebih daripada itu.

 

Amerika Sayrikat telah meningkatkan pembabitannya dengan negara-negara Asia Tenggara susulan Washington berpendapat rantau itu sebagai satu daripada elemen penting dalam dasar luarnya di bawah pentadbiran Obama.

 

Amerika Syarikat perlu menjalin perkongsian dengan negara-negara di rantau itu demi masa depan bersama.

 

Berikutan ketegangan kian meningkat di Laut China Selatan, laluan penting bagi perdagangan antarabangsa yang bernilai berbilion-bilion dollar dan kebebasan ruang udara untuk penerbangan, peningkatan keganasan dan penyeimbangan kuasa di rantau itu telah menjadi faktor penyumbang yang mungkin telah menarik perhatian negara Uncle Sam tentang kepentingan Asia Tenggara.

 

Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Amerika mempunyai kepentingan strategik bagi keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara.

 

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dengan populasi kira-kira 600 juta orang.

 

Negara anggota ASEAN memiliki gabungan keluaran dalam negara kasar sebanyak US$2.6 trilion (RM10.9 trilion) setakat 2014, pertumbuhan ekonomi 4.6 peratus, dan diunjurkan menjelang 2030, ASEAN akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia.

 

Najib pada Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada November berkata ASEAN telah membuktikan kepada dunia bahawa blok negara-negara itu boleh menjadi perkumpulan serantau paling kompetitif di Asia-Pasifik dan sedang muncul sebagai satu kuasa di pentas antarabangsa.

 

Sidang kemuncak Sunnylands akan membuka laluan kepada lebih banyak perkongsian strategik antara Amerika dan ASEAN, kata Awang Adek.

 

Pada mesyuarat dua hari bermula Isnin (Selasa di Malaysia), Obama dan pemimpin 10 negara ASEAN dijangka menumpukan pada pertumbuhan ekonomi ASEAN menerusi inovasi dan keusahawanan serta usaha memerangi keganasan dan menangani isu Laut China Selatan.

 

Hakikat bahawa mesyuarat itu diadakan di Sunnylands, estet seluas 200 ekar-terletak di Rancho Mirage, Southern California, juga dikenali sebagai Camp David of the West, melambangkan akan pentingnya hubungan Amerika Syarikat-ASEAN.

 

Obama turut menggunakan venue sama untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping pada 2013 dan Raja Jordan, Raja Abdullah II pada 2014.

 

Awang Adek percaya apabila Pentadbiran Obama berakhir awal tahun depan, Washington akan meneruskan dasarnya itu dengan ASEAN kerana negara ini mempunyai kepentingan strategik terhadap rantau itu.

 

Lapan presiden Amerika Syarikat — Dwight D. Eisenhower, Richard Nixon, Henry Ford, Ronald Reagan, Bill Clinton, George H.W Bush, George W. Bush dan Obama pernah melawat tempat ini (Sunnylands).

 

Tokok terkenal lain yang pernah melawat hartanah ini termasuk Frank Sinatra, Bob Hope, Gregory Peck, Bing Crosby dan Sammy Davis Jr. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.