Zam Perjelas “Patutkah Nik Aziz Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Islam”

Kuala Lumpur – Tan Sri Zainuddin Maidin, terkejut apabila mendapati blog miliknya dikunjungi lebih 16,000 pengunjung gara-gara penyebaran semula artikel bertajuk “Patutkah Nik Aziz Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Islam” ditulisnya pada April 2013 di laman sosial.

 

Bekas Menteri Penerangan dan veteran UMNO itu, menjelaskan sebenarnya artikel terbabit ditulisnya sebagai tindak balas terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengeluarkan fatwa bahawa solat orang Islam UMNO tiada pahala dan UMNO parti murtad.

 

“Saya agak hairan bila tiba-tiba blog saya (http://zamkata.blogspot.com) sejak malam tadi (12 Februari) hingga petang ini (kelmarin) dikunjungi oleh lebih 16,000 pelawat. Saya tidak tahu kenapa sedangkan ‘posting’ saya terakhir bukan mengenai isu kontroversi tetapi ucapan takziah terhadap pemergian abadi pengulas sukan tersohor tanah air iaitu Datuk Hasbullah Awang.

 

“Kemudiannya baru saya mengetahui bahawa artikel ditulis saya lebih setahun lalu bertarikh 5 April 2013 disebarkan kembali di Facebook dan menjadi viral sehingga menimbulkan persepsi bahawa saya menulisnya sempena kematian mantan Menteri Besar Kelantan, pemimpin dan ulama besar PAS, Datuk Nik Abdul Aziz,” katanya dalam satu kenyataan menerusi blognya di sini, semalam.

 

Sebelum ini Berita Harian (BH) membuat laporan polis susulan penyiaran satu artikel bertajuk “Wajarkah Nik Aziz dikebumikan di tanah perkuburan Islam? – Zainuddin Maidin oleh sebuah laman web menggunakan nama yang sama dengan BH, www.berita-harian.net.

 

BH yang diwakili Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (NSTP), Wan Abdillah Wan Nawi membuat laporan itu di Balai Polis Pantai di sini, pada jam 10.19 malam tadi.

 

Wan Abdillah berkata, laporan polis dibuat bertujuan membersihkan nama BH, sekali gus mengelakkan timbul kekeliruan dalam kalangan orang ramai yang membaca artikel berkenaan.

 

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata penyebaran tajuk artikel terbabit tanpa kandungan sepenuhnya membangkitkan kemarahan, ulasan panas dan anggapan salah terhadap dirinya sama ada dalam kalangan orang PAS mahupun bukan penyokong parti itu.

 

“Sebenarnya artikel saya itu adalah reaksi daripada fatwa Nik Aziz bahawa solat orang Islam UMNO tiada pahala dan UMNO parti murtad yang disanggah oleh seorang mufti.

 

“Penyebaran semula tulisan itu yang berusia lebih dari setahun tidak semestinya dilakukan oleh orang PAS tetapi berkemungkinan oleh anasir yang mempunyai motif jahat sama ada untuk mencemarkan nama saya atau mengekalkan prasangka buruk antara UMNO dan PAS,” katanya.

 

Berikutan itu, Zainuddin berkata, semua pihak tidak terlalu cepat membuat kesimpulan atau sebarang rumusan sebelum mereka membaca semula artikelnya yang disiarkan pada 5 April 2013 bagi mengelak dirinya menjadi mangsa kecaman semata-mata kerana sentimen dan kemarahan tanpa maklumat mencukupi. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.