TRW Mahu Kekalkan Rentak Kemenangan

KEMENANGAN 2-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi pembuka tirai memberi tonik berharga buat The Red Warriors untuk mengharungi saingan Liga Super yang cukup kompetitif pada musim ini.

 

Skuad kendalian George Boateng itu membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya menyerap tekanan The Gladiators meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam baki 40 minit terakhir pada perlawanan itu.

 

Gandingan mantap kapten, Mohd Badhri Radzi bersama Isaac Pupo menjana enjin tengah di samping sentuhan penyerang berbisa Erwin Carrillo membuktikan Kelantan antara pasukan yang perlu diberi perhatian meskipun benteng pertahanan mereka dikatakan masih belum kebal sepenuhnya.

 

MOMENTUM KEMENANGAN

 

Pertemuan menentang Lions XII di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok sudah pasti mahu diteruskan dengan momentum kemenangan sebagai hadiah di atas kesabaran penyokong setelah gelanggang keramat mereka langsung tidak boleh digunakan sepanjang persiapan pra-musim pasukan itu.

 

Sedikit merisaukan di kem Kelantan apabila beberapa tonggak utama seperti Mohd Norfarhan Muhammad, Mohd Noor Hazrul Mustafa, Mohd Farisham Ismail berada dalam senarai kecederaan manakala mereka turut kehilangan Brendan Gan setelah pemain kelahiran Australia disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut atau ACL (Anterior Cruciate Ligament), minggu lalu.

 

Pastinya, Boateng perlu memanfaatkan baki pemain simpanan yang ada dengan semaksima mungkin kerana pengendali kelahiran Ghana itu tidak sepatutnya berdepan masalah dalam memilih kesebelasan terbaik memandangkan pasukannya mempunyai 25 pemain terbaik pada musim ini.

 

 

BUKAN TUGAS MUDAH

 

Apa pun, pertemuan menentang kelab dari Singapura bukan satu tugas mudah buat Kelantan sementelah skuad kendalian pemain legenda, Fandi Ahmad itu berada pada prestasi terbaik setelah mengecewakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-3, tempoh hari.

 

Meskipun rekod pertemuan musim lalu berpihak kepada Kelantan, namun itu tidak lagi boleh dijadikan sandaran kerana Lions XII yang membariskan pemain muda sememangnya sukar untuk ditewaskan dan tempoh 90 minit pertembungan kedua-dua pasukan itu pastinya cukup sengit. – Sinar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.