Tahun Melawat Selangor 2015 : Selangor Yakin Capai Sasaran 7 Juta Pelancong

Sepang – Kerajaan Negeri yakin sasaran tujuh juta pelancong ke Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2015 akan berjaya dicapai menerusi pakej dan persediaan lengkap tersedia untuk tujuan itu.

 

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata dengan pelbagai promosi dan kawasan pelancongan menarik dimiliki, ia tentunya banyak membantu Selangor dalam perkara berkenaan.

 

“Kita menjangkakan kira-kira tujuh juta pelancong akan datang dan masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seterusnya menggunakan pakej promosi disiapkan untuk bersama menjayakan Tahun Melawat Selangor 2015.

 

“Saya percaya dengan produk dan pakej disediakan, kita dapat mencapai matlamat digariskan,” katanya dalam sidang media.

 

Azmin berkata demikian dalam program pelancaran Tahun Melawat Selangor 2015 di KLIA di sini, hari ini.

 

Katanya, program Tahun Melawat Selangor 2015 sepatutnya dilancarkan pada akhir tahun lalu tetapi ditangguhkan ekoran musibah banjir melanda negara khususnya Pantai Timur.

 

“Kehadiran pelancong ke Selangor akan banyak membantu kemajuan negeri sekaligus meningkatkan ekonomi dan Selangor sendiri adalah penyumbang utama KDNK negara iaitu hampir 24 peratus,’ katanya.

 

Selangor memiliki tarikan tersendiri dan kawasan pelancongan menarik untuk dikunjungi seperti Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Batu Caves, Taman Botani Negara, FRIM Kepong dan lain-lain. – Selangorkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.