Selepas 22 Tahun Jadi Penyanyi, Ning Melangkah Ke Bidang Pakar Motivasi

Petaling Jaya – Selepas hampir 22 tahun bergelar penghibur, diva bersuara soprano Ning Baizura, 39, yang baru saja menerima pengiktirafan Country Branding Awards melangkah setapak lagi dalam kerjayanya sebagai pakar motivasi.

 

 

Menurut pelantun lagu Bukan Wanita Sempurna ini, syarikatnya Happenings (M) Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menganjurkan kempen untuk memberi semangat dan motivasi kepada remaja serta penuntut di kolej yang terpilih.

 

 

Menariknya, Ning akan terlibat sebagai penceramah dengan berkongsi kisah perjalanan hidupnya sehingga berjaya sebagai seorang ‘role model’.

 

 

“Sudah lama sebenarnya saya menyimpan cita-cita mahu menjadi pakar motivasi. Kebetulan Kementerian Pendidikan suka dengan idea yang saya kemukakan dan ia menjadi satu kempen meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan remaja yang akan diadakan pada Julai nanti.

 

 

“Kami akan menjelajah ke 12 lokasi kolej tempatan terpilih dan saya bertindak sebagai penceramah. Saya akan berkongsi ilmu termasuk cara meningkatkan keyakinan, membina jati diri dan memberi inspirasi kepada penuntut kolej.

 

 

“Sebab apabila syarikat saya membuat kaji selidik, remaja kita hari ini ramai yang kurang yakin pada diri sendiri dan itu antara faktor menyebabkan mereka susah untuk berjaya dan mencapai apa yang diingini.

 

 

“Sebagai selebriti, ibu, wanita dan ‘role model’, saya selalu terfikir selain membawa nama negara ke luar menerusi persembahan dan aktiviti seni saya, apa lagi sumbangan yang saya boleh berikan pada masyarakat. Jadi, ini juga sebagai satu sumbangan saya pada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada sidang media minggu Setiausaha Queen of the City, semalam.

 

 

Pada Rabu lalu, Ning menerima anugerah pengiktirafan tertinggi oleh The Brand Laureate atas pencapaian dan kecemerlangan syarikatnya menganjurkan pelbagai program koporat.

 

 

Mengulas pencapaian anugerah itu, isteri kepada Omar Shariff Christopher ini menyatakan dia berbangga dan bersyukur kerana usaha dan penat lelahnya sekaligus menjadi penyuntik semangat untuk dia terus memajukan lagi syarikatnya.

 

 

“Sebenarnya, selama ini syarikat saya sering menganjurkan acara mega antara Kids Fest dan kami juga pernah bekerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

 

 

“Saya bersyukur anugerah ini amat bermakna buat saya dan syarikat saya yang membawa erti kami harus bekerja keras lagi untuk terus maju lagi dalam industri,” katanya.

 

 

Sebelum ini, dua lagi selebriti yang pernah menerima anugerah tersebut ialah Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid dan diva Indonesia, Kris Dayanti.

 

 

Galak Anak Jadi Model

 

 

Dalam pada itu ketika diajak berkongsi soal peribadi, Ning berkata, dia bahagia dan gembira menjalani kehidupan bersama keluarganya.

 

 

Walau sesibuk mana pun dia dengan aktiviti seni, Ning akan memastikan dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri.

 

 

Namun, kepenatannya berbalas apabila melihat keletah satu-satunya putera kesayangan, Ryan Sky Dalton yang kini berumur dua tahun.

 

 

Tambahnya, Ryan sekarang juga sudah pandai berenang. Malah, anaknya itu sudah mula mendapat perhatian beberapa pihak untuk mengambilnya sebagai model produk kanak-kanak.

 

 

“Alhamdulillah, kehidupan macam biasa. Rutin harian saya menghantar Ryan ke sekolah (play school) dan kalau saya sempat, saya juga yang akan ambilnya.

 

 

“Saya juga menjalankan tanggungjawab macam biasa seperti memasak untuk suami dan menyediakan kelekapan dia dan Ryan.

 

 

“Ryan sudah pandai berenang dan disebabkan dia suka sangat berenang, saya mengambil seorang jurulatih renang untuknya. Dia cepat membesar dan pada usianya sekarang, saya rasa dia tinggi.

 

 

“Sebenarnya, dia pun sudah mula ada simpanan sebab ada pihak yang menawarkan dia ‘kerja’ sebagai model untuk produk kanak-kanak.

 

 

“Namun, buat masa ini saya tidak mahu terlalu dedahkan dia cuma sesekali tu bolehlah,” katanya.

 

 

Ditanya mengenai kecederungan anaknya itu, Ning berkata sebagai ibu bapa dia dan suaminya memberi kebebasan kepada Ryan memilih bidang yang diminati tetapi pendidikan lebih diutamakan.

 

 

“Saya dan suami terbuka. Tak kisah dia minat apa atau mahu menceburi bidang apa sekalipun kami akan beri galakan.

 

 

“Kalau mungkin dia mahu jadi model, nanti bila dia sudah besar sikit saya hantar dia ke akademi model milik supermodel Amber Chia,” katanya sambil tertawa.

 

 

Perkembangan lain, Ning bersama dua lagi rakan artis, Ziana Zain dan Noryn Aziz akan membuat persembahan pada Minggu Setiausaha, Diva Malaysia Live, Queen of the City di Hotel Shangri La Kuala Lumpur pada 9 April ini dan di Persada International Convention Center, Johor Bahru (25 April). – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.