Pulanglah Wahai Jefry!

MINGGU lalu, kecoh seketika industri hiburan tanah air apabila sekeping gambar tokoh perfileman Melayu, Tan Sri Jins Shamsudin yang hanya mengenakan singlet tersebar di laman sosial.

 

Gara-gara gambar yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab itu, timbul spekulasi mengatakan seniman negara itu semakin uzur, sedangkan hakikatnya, Jins kekal sihat seperti biasa walaupun menghidap Alzheimer sejak empat tahun lalu.

 

Berkesempatan berkunjung ke rumah keluarga bekas Ahli Dewan Negara itu di Ulu Klang pada Khamis lalu, isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 56, berserta dua anaknya, Putera Hang Jebat, 28, dan Putera Hang Nadim, 24, menyambut mesra kehadiran wartawan Hits.

 

Memasuki kediaman banglo yang dikemas rapi itu, aktor yang memiliki nama sebenar Mohamed Jins, 80, itu sedia menunggu wartawan Hits di satu sudut di ruang tamu, siap berpakaian lengkap dengan songkok, segak seperti mana penampilannya sebelum ini.

 

Memulakan bicara pada petang itu, Halijah pastinya meluahkan kekecewaannya berkaitan isu gambar tersebut. Harapannya agar pihak bertanggungjawab dan berwajib dapat mengeluarkan foto yang mencalarkan imej suaminya daripada laman Internet.

 

“Apapun, ada hikmah di sebalik penyebaran gambar tersebut. Sekurang-kurangnya, masyarakat umum tahu akan keadaan semasa suami saya. Kalau tidak, dalam tempoh empat tahun lalu selepas disahkan dia menghidapi Alzheimer, tiada siapa yang ambil peduli.

 

“Kalau ada pun, hanya segelintir sahaja yang betul-betul ambil kisah. Pun begitu, kami sekeluarga tidak berkecil hati kerana ia lumrah kehidupan. Kepada yang terus menerus bertanya khabar, diucapkan terima kasih,” katanya meluahkan yang terbuku di hati.

 

Jefry sedia maklum

 

Pada masa yang sama, Halijah turut diajukan soalan berkaitan anak sulung Jins hasil perkahwinan pertamanya dengan seniwati Rahmah Rahmat iaitu Jefry, 53, yang kini menetap di Woodland, Singapura.

 

Menurut wanita itu, Jefry telah dimaklumkan keadaan kesihatan ayahnya sejak dari mula lagi. Namun, Halijah melahirkan sedikit rasa kecewa apabila tiada tindakan susulan daripada lelaki itu untuk menziarahi Jins.

 

“Saya faham, antara Jins dan Jefry wujud satu jurang yang besar disebabkan perpisahan yang berlaku. Dia dibesarkan di Singapura, manakala suami saya membawa diri ke Malaysia meneruskan kariernya.

 

“Disebabkan mereka tidak pernah duduk bersama, agak sukar untuk merapatkan hubungan tersebut. Sedangkan sewaktu Jins sihat walafiat dahulu, mereka pun jarang bersua muka.

 

“Namun, sebagai seorang ibu yang mempunyai hati dan perasaan, suami saya tetap ayah kandung Jefry, walau bagaimana sekalipun cara layannya. Sementara masih ada kesempatan, gunakanlah peluang ini untuk melawatnya di sini,” pesan Halijah kepada Jefry.

 

Tambahnya, sama ada Jebat mahupun Nadim sering kali memaklumkan khabar berita mengenai ayah mereka kepada Jefry, tetapi dipandang sepi olehnya.

 

Doanya agar suatu hari kelak dibukakan pintu hati untuk Jefry menjenguk keadaan Jins sementara esok masih ada. Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.