PRK Chempaka, Permatang Pauh Tidak Akan Diadakan Secara Serentak

Kuala Lumpur – Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka di Kelantan dan Parlimen Permatang Pauh tidak akan diadakan secara serentak, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

 

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan tarikh kedua-dua PRK itu adalah hampir antara satu sama lain dengan PRK Chempaka dijangka diadakan terlebih dahulu.

 

“Bila tarikh PRK Permatang Pauh adalah terpulang sama ada terdapat rayuan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau tidak dan bila kita terima surat daripada Speaker Dewan Rakyat.

 

“Sebab selepas 14 hari tempoh dibenarkan perlembagaan untuk Anwar membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong. Kalau dia buat rayuan, lagi lama ambil masa. Tetapi kalau tiada rayuan, bermakna selepas 14 hari dari tarikh 10 Feb, kena tunggu surat daripada Speaker Dewan Rakyat,” kata beliau, lapor Bernama.

 

Menurut Abdul Aziz, hanya selepas menerima notis kekosongan kerusi Parlimen berkenaan daripada Speaker Dewan Rakyat, barulah SPR boleh mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh PRK Parlimen Permatang Pauh.

 

Semalam Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuat kuasa apabila habis tempoh 14 hari daripada tarikh beliau sabitan dan hukuman.

 

Beliau memberitahu, SPR dijangka menerima notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Isnin atau Selasa depan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, malam tadi.

 

Jelasnya, selepas menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil, penamaan calon, pengundian awal, pengundian hari biasa dan sebagainya.

 

“Kekosongan kerusi itu bermula hari ini. Dalam tempoh itu, tidak awal daripada empat hari dan tidak lebih dari 10 hari, SPR perlu mengadakan mesyuarat,” katanya.

 

Allahyarham Nik Abdul Aziz,84, yang menghidap kanser prostat meninggal dunia di kediaman beliau di Pulau Melaka, Kota Baharu pada 9.40 malam tadi.

 

Mursyidul Am PAS itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka sejak 1990.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.