Ketua Puteri UMNO Pulau Pinang Letak Jawatan

Pulau Pinang – Ketua Puteri UMNO negeri, Siti Azmeera Mohd. Azmi melepaskan jawatannya yang dipegang untuk penggal 2013 hingga 2016.

 

Berikutan itu, jawatan tersebut kini disandang Ketua Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas, Nurul Haida Mahamad berkuat kuasa, semalam.

 

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengumumkan perkara itu berkata, Siti Azmeera melepaskan jawatannya dengan rela hati kerana tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya terhadap tugasnya sebagai Ketua Puteri UMNO negeri.

 

Menurutnya, keputusan itu diterima dan dipersetujui Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO.

 

“Siti Azmeera sebelum ini telah memaklumkan kepada saya yang beliau mahu melepaskan jawatannya itu, bagaimanapun kami di peringkat Pusat memintanya mempertimbangkan semula.

 

“Hari ini dalam mesyuarat bersama Puteri UMNO Bahagian Permatang Pauh, saya putuskan untuk membuat perubahan jawatan tersebut selepas mengambil kira permintaan Siti Azmeera,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua Puteri UMNO Bahagian Pulau Pinang di sini semalam.

 

Mas Ermieyati berkata, Puteri UMNO mengucapkan terima kasih kepada Siti Azmeera di atas kesungguhan dan kerjasama yang diberikan kepada pergerakan itu selama ini.

 

Sementara itu Nurul Haida ketika dihubungi berkata, beliau bersedia menggalas tanggungjawab baharu itu dan berharap mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli Puteri negeri.

 

“Saya berterima kasih kepada barisan kepimpinan Puteri Pusat atas kepercayaan ini dan saya akan berusaha memastikan Puteri tetap fokus dalam memperkuatkan parti khususnya dalam kalangan pengundi negeri ini,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.