Johor Ambil Langkah Henti Sementara Eksport Ikan, Udang Besar Dan Ayam Ke Singapura

Pagoh – Bagi memastikan bekalan ikan, udang dan ayam mencukupi sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, kerajaan Johor mengambil langkah menghentikan sementara pengeksportan lima jenis ikan, udang besar dan ayam ke Singapura.

 

Pengerusi Jawatankuasa dan Industri Asas Tani Negeri, Ismail Mohamed berkata, langkah itu berkuat kuasa mulai 1 Januari lepas hingga 28 Februari depan.

 

“Ikan dilarang eksport ialah jenis yang biasa mendapat permintaan tinggi seperti kembong, cencaru, selayang, bawal putih dan tenggiri.

 

“Kita juga mempunyai sebanyak 300 peratus bekalan ayam sejuk beku selain 302 tan metrik daging bagi memastikan semuanya mencukupi sepanjang perayaan ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Pengimarahan Masjid dan Surau Parlimen Pagoh di Bangunan Seri Pekembar di sini, hari ini.

 

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abd Mutalip Abd Rahim dan sebanyak 44 buah masjid serta 88 surau dalam Parlimen berkenaan menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM10,000.

 

Turut hadir Anggota Dewan Negara, Senator Datuk Noriah Mahat, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Zaid Abd Rahman dan Ketua Puteri Bahagian Pagoh, Rohaizah Ahmad.

 

Menurut Ismail, bekalan sayuran juga mencukupi dan bekalan cili merah akan diimport dari India atau Thailand jika ia berkurangan.

 

Sementara itu, beliau meminta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bekerjasama memantau dakwaan segelintir nelayan yang menjual ikan kepada pihak lain di tengah laut yang dikhuatiri menjejaskan bekalan ikan ketika musim perayaan.

 

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sudah memberi subsidi dan insentif untuk nelayan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.