ISIS Tawan Stesen Radio Libya

Tripoli – Lelaki bersenjata yang mengaku sebagai anggota kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) telah merampas stesen radio negeri yang dikendalikan di bandar pantai Libya Sirte, menurut penduduk tempatan, lapor AFP.

 

Laman web militan itu turut memuat naik gambar yang menunjukkan lelaki bersenjata duduk di hadapan mikrofon dalam studio penyiaran dan mengacukan senapang serangan Kalashnikov.

 

“Mereka menawan Radio Sirte semalam (Khamis). Sejak itu mereka telah menyiarkan (ayat-ayat) Al-Quran dan ucapan (ketua ISIS Abu Bakr) al-Baghdadi,” kata seorang penduduk kepada AFP melalui telefon.

 

Penduduk tempatan itu berkata ucapan jurucakap ISIS Abu Muhammad al-Adnani juga disiarkan.

 

Seorang bekas pegawai pentadbiran tempatan berkata lelaki bersenjata telah menubuhkan ibu pejabat di pusat bandar, dan menyuarakan mereka boleh mengisytiharkan emiriyah Islam di Sirte.

 

“Mereka boleh mengambil kesempatan atas ketiadaan mana-mana pihak berkuasa kerajaan pusat untuk mengubah bandar ini menjadi satu emiriyah Islam seperti yang mereka lakukan di Derna,” sebuah bandar timur yang dipegang oleh kumpulan pelampau termasuk ISIS.

 

Lelaki itu yang enggan namanya disiarkan, berkata lelaki bersenjata merampas stesen radio “sebagai langkah pertama untuk berkomunikasi dengan penduduk”.

 

“Keadaan di Sirte adalah sangat kompleks,” katanya, kerana banyak kumpulan radikal bertapak di sana.

 

Sirte adalah kubu Ansar al-Syariah, Islamis yang disenaraihitamkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.