Generasi Muda Islam Perlu Sedar Sambutan Hari Kekasih Tidak Sesuai – Jaip

Kuantan – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengingatkan masyarakat amnya dan generasi muda Islam khususnya agar menolak sekeras-kerasnya amalan menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day) yang boleh mencetuskan aktiviti maksiat dan bercanggah dalam agama Islam.

 

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata,  mereka perlu sedar bahawa sambutan atau meraikan hari yang dibawa oleh pihak tertentu itu tidak sesuai untuk membentuk akhlak dan sahsiah umat Islam itu sendiri.

 

“Generasi muda masa kini tidak harus terikut-ikut dan terpengaruh dengan hari yang dikatakan istimewa untuk menggambarkan kasih sayang kepada pasangan.

 

“Perkara tersebut adalah agenda dalam usaha melalaikan orang Islam dan kita seharusnya mempunyai kesedaran yang tinggi agar gejala sosial di kalangan generasi muda tidak berleluasa.

 

Beliau berkata dalam ucapannya di majlis perasmian Kempen Say No To Valentine anjuran Jaip dengan kerjasama Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas),  di sini, kelmarin.

 

Dalam pada itu, menurutnya, dalam usaha mematahkan budaya barat golongan generasi muda harus memantapkan ilmu agama sebanyak yang mungkin dan meningkatkan indeks kemahiran diri untuk menempuh pelbagai cabaran masa akan datang.

 

“Generasi muda khususnya mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) seharusnya tidak terikat hanya dengan silibus dan pembelajaran yang diajar di peringkat IPT itu sahaja tetapi harus juga mencari ilmu lebih daripada itu serta membanyakkan kemahiran diri.

 

“Sebagai seorang Islam tidak ramai yang mempunyai indeks ilmu dan kemahiran diri yang tinggi, mereka hanya belajar pada dasarnya sahaja malah jauh sekali untuk mengamalkan dan mempraktikkannya.

 

“Sekiranya ingin menjadi orang berjaya dunia dan akhirat yang mampu mengetepikan unsur dan anasir negatif sebagai contoh sambutan hari kekasih ini, haruslah menjadikan asas Fardu Ain sebagai kewajipan dan bukan ilmu semata-mata,” katanya.

 

Tambah beliau, dengan adanya ilmu Fardu Ain dalam diri mampu membentuk satu masyarakat atau generasi baru yang mampu menghalang mereka daripada terikut-ikut rentak budaya agama lain yang bertentangan dengan agama Islam.

 

“Masyarakat dan generasi baru yang berilmuan ini nanti mampu membangkitkan gerakan menaikkan martabat agama Islam dan menunjukkan kita punya kekuatan untuk menangkis unsur-unsur terlarang dibawa mereka,” katanya.

 

Sementara itu, lebih kurang 1,000 pelajar daripada pelbagai IPT seluruh Kuantan hadir ke Dewan Utama Kipsas untuk sama-sama mengikuti kempen tersebut yang turut menyajikan Forum Hari-hari Sayang, dan disampaikan Ustaz Nik Ibrahim Nik Abdullah dan Pencetus Umah Lokman. – SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.