VIDEO: ‘Buang Masa Lapor Polis, Beri Wang Kepada Sukarelawan Tak Salah’ – Manogaran

Cameron Highlands – Isu pemberian wang kepada sukarelawan oleh individu yang dipercayai petugas Pakatan Harapan (PH) bukanlah satu masalah besar kerana tidak menyalahi undang-undang.

Menurut laporan Metro Online, calon PH Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran berkata pemberian wang itu dikira sebagai sebahagian daripada perbelanjaan kempen pilihan raya,

“Kita akan masukkan (perbelanjaan) itu dalam penyata akaun dan serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas selesai PRK ini.

“Tidak perlulah pembangkang (Barisan Nasional) membangkitkan isu ini dan membuang masa membuat laporan polis.

“Lebih baik menggunakan masa kempen yang singkat sebaik mungkin dengan berkempen secara sihat,” katanya ketika melakukan lawatan ramah mesra di FELDA Sungai Koyan 3, di Lipis, hari ini.

Semalam, tular di media sosial gambar seorang wanita memakai baju PH memberikan duit kepada sukarelawan.

Susulan itu, ia mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan juga tindakan laporan polis daripada beberapa pihak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang menyebarkan gambar berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan PH di FELDA Sungai Koyan 3, semalam berkata, setakat ini belum ada pihak tampil menjelaskan di mana lokasi gambar itu dirakam, selain motif ia disebarkan.

“SKMM perlukan masa untuk mengenal pasti pemilik akaun berkenaan dan tujuan gambar sedemikian disebarkan kepada orang ramai.

“Buat masa ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab… ini perkara bersifat spekulasi dan mungkin sengaja diperbesarkan. Mungkin juga bukan seperti tafsiran sebenar apa yang berlaku dalam gambar itu yang kita sendiri pun tidak pasti,” katanya.

One thought on “VIDEO: ‘Buang Masa Lapor Polis, Beri Wang Kepada Sukarelawan Tak Salah’ – Manogaran

  • January 16, 2019 at 1:05 pm
    Permalink

    Yg komplen tk hbs2 tu tk de modal kah?? Byk kerja kena buat jgn sibuk isu2 remeh malu lah weh??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!