Perbincangan Dua Hala Malaysia Jadi Positif

JOHOR BAHRU: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini mengadakan pertemuan bersama Menteri Pembangunan Negara Singapura, Lawrence Wong, bagi membincangkan isu hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam laman Twitter rasminya, Mohamed Azmin bertemu Wong di satu lokasi di republik berkenaan untuk bersarapan dan mengadakan perbincangan isu dua hala Malaysia-Singapura.

“Menghargai masa yang diambil oleh Lawrence Wong, Menteri Pembangunan Negara Singapura untuk bermesyuarat ketika bersarapan pagi ini. Kami mempunyai perbincangan positif mengenai isu dua hala mengenai Singapura dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Azmin memaklumkan turut bertemu Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, juga bertujuan membincangkan isu dua hala Malaysia-Singapura.

“Selamat bertemu dengan Khaw Boon Wan, Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pengangkutan, sekali lagi untuk membincangkan isu dua hala.

“Keberhasilan rundingan HSR (Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura) beberapa bulan lalu meletakkan asas untuk hubungan kerja yang positif bagi menyelesaikan masalah,” katanya.

Petang semalam, Mohamed Azmin turut membincangkan isu hubungan dua hala bersama Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan yakin pendekatan positif diambil kedua-dua negara dalam menyelesaikan pertikaian berlaku.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura berkata semalam, mereka mengalu-alukan inisiatif Mohamed Azmin mengunjungi republik itu, walaupun mesyuarat dua hala tahunan mereka ditunda berikutan ‘tindakan provokasi’ oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Menurut laporan dipetik laman berita The Straits Times Singapura, Mohamed Azmin memulakan lawatan dua harinya semalam yang termasuk pertemuan dengan Wong dan Balakrishnan.

Balakrishnan menerusi Facebook rasminya berkata, beliau saling bertukar pendapat ketika majlis makan malam bersama Mohamed Azmin dan menghantar gambar dirinya dan pemimpin Malaysia itu berbual di tebing Sungai Singapura. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.