Jumaat Lalu Nafi Ugut Tok Batin, Hari Ini Pula Senator PH Minta Maaf

PETALING JAYA – Senator Bob Manolan Mohamad memohon maaf kepada tok batin Orang Asli di Cameron Highlands yang tersinggung dengan kenyataannya bahawa tok batin yang tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) tidak harus dibayar gaji.

Manolan berkata, beliau tidak berniat menyinggung perasaan, apatah lagi apatah lagi mengugut mereka, sebaliknya beliau sentiasa mempertahankan institusi tok batin sejak dahulu lagi.

“Saya dengan ini melahirkan rasa kesal di atas ketelanjuran kata yang boleh ditafsirkan sebagai satu ugutan kepada tok-tok batin.

“Namun, saya masih berpegang kepada prinsip bahawa semua ketua kampung atau tok-tok batin sewajarnya menyokong dasar kerajaan memerintah agar perlaksanaan dasar kerajaan boleh dicapai dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya berjanji akan terus memperjuangkan nasib kaum Orang Asli sejajar dengan peranan yang diberikan kepada saya oleh parti dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan penjelasan Manolan berhubung ugutan yang didakwa dibuatnya terhadap tok batin Orang Asli di Cameron Highlands dan sudah menegurnya.

Manolan menyedari kenyataannya bukan sahaja menggores perasaan tok-tok batin bahkan turut tidak disenangi pimpinan PH kerana gabungan berkenaan mempertahankan amalan demokrasi.

Katanya, perkara pokok yang mahu dijelaskan kepada tok-tok batin berkenaan adalah sewajarnya mereka yang dilantik kerajaan mesti membantu kerajaan dalam apa juga dasar berkaitan kepentingan dan kebajikan masyarakat Orang Asli.

“Bagaimana mungkin dasar kerajaan yang mahu membela nasib masyarakat Orang Asli dapat dilakukan kerajaan sekiranya tok-tok batin yang dilantik itu terdiri daripada ketua-ketua cawangan Umno.

“Mereka yang secara jelas adalah parti yang menentang kerajaan dan mereka akan sentiasa bekerja untuk parti Umno sebagai sebuah parti pembangkang.

“Peraturan ini terpakai kepada semua pegawai kerajaan dan ketua-ketua jabatan kerajaan di mana seharusnya tiada sikap kepartian di dalam diri mereka sewaktu memegang jawatan yang diamanahkan kepada mereka,” katanya.

Jumaat lalu, Manolan menafikan beliau mengugut tok batin di Cameron Highlands semasa bertemu mereka.

Manolan berkata, apa yang ingin disampaikannya adalah ketua masyarakat Orang Asli itu tidak sepatutnya terlibat dengan Umno dan pada masa sama menerima elaun daripada kerajaan pusat.

Manolan, yang juga berketurunan Orang Asli berkata, tok batin terbabit dilantik oleh menteri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Bersih 2.0 menggesa supaya undang-undang pilihan raya dipinda bagi menghalang ahli politik berkempen di satu-satu kawasan sebelum tempoh berkempen. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!