Ini Saat Paling Mencabar & Penuh Dilema Kepada Mahathir

Oleh: Ab Jalil Backer

SEJAK seminggu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mula melahirkan keperluan orang Melayu dan Islam bersatu bagi menjaga kepentingan mereka.

Sepanjang kerjaya politik Mahathir selama lebih 70 tahun mungkin inilah saat paling mencabar dan penuh dilema kepada beliau.

Beliau berhadapan dilema sama ada untuk mempertahankan atau meruntuhkan segala usaha pembangunan negara bangsa ini yang sebahagian besarnya hasil perjuangan beliau.

Beberapa tahun selepas merdeka Mahathir menjadi kurang sabar dan toleran dalam hal-hal membangunkan bangsa dan negara lalu bertukar menjadi ultra Malay.

Beliau kecewa dengan kelemahan usaha pengisian kemerdekaan untuk kaum Bumiputera.

Beliau mula menentang keputusan-keputusan kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang dilihat mengenepikan Melayu dan terlalu bergantung kepada kaum imigran Cina.

Kemuncaknya pada 1969, Mahathir telah mengisytiharkan beliau tidak memerlukan undi kaum Cina walaupun bertanding di Parlimen Kota Star atas tiket Perikatan. Akibatnya beliau kalah kepada Yussuf Rawa dari Pas.

Mahathir kalah dalam pilihan raya, namun beliau telah menimbulkan kesedaran luar biasa orang Melayu. Selebihnya apa yang berlaku selepas pilihan raya umum 1969 sudah jelas tercatat dalam tinta sejarah negara di bawah tajuk “Peristiwa 13 Mei 1969”.

Ramai pemerhati politik melihat Mahathir kalah kerana ditipu janji Pas untuk mengundi beliau.

Sebenarnya Mahathir melakukan tindakan tersebut kerana menyedari ada kekosongan dalam jiwa orang Melayu untuk seorang wira. Zaman keperwiraan Tunku sudah berakhir apabila berlaku pemisahan Singapura dari Malaysia.

Mahathir memilih detik paling tepat untuk menjadi wira. Keputusan dan kenyataan tersebut menjadikan beliau wira orang Melayu sehingga 1998, apabila tempatnya diambil alih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Membaca realiti politik dan desakan dalaman Umno, Mahathir mengambil keputusan bersara pada 2003.

Selepas itu Mahathir sekali lagi membuat perjudian politik apabila menjadi pemimpin “mesra” pembangkang untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Perseteruan beliau dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak menjatuhkan BN dalam pilihan raya umum 2008 namun melemahkan BN.

Selepas melihat keputusan PRU 2013 tidak memulihkan BN sepenuhnya, Mahathir mungkin sedar naluri rakyat yang sudah bosan berada di bawah pentadbiran parti yang sama selama berpuluh tahun.

Dalam kajian bidang ekonomi ada hukum dikenali sebagai utiliti sut berkurangan.

Para sarjana ekonomi mendapati “penggunaan sesuatu barang secara berterusan akan menyebabkan tahap kepuasan yang diterima semakin berkurangan”. Inilah yang berlaku kepada Umno dan BN.

Percaturan Mahathir ialah jika BN terus berkuasa selepas Mei 2018 beliau masih mempunyai rakan-rakan dalam kerajaan yang memelihara legasinya.

Namun jika BN kalah beliau mungkin berhadapan dengan tindak balas parti lawan yang memusuhinya sejak berdekad lamanya. Ini bukan setakat menghancurkan segala yang telah beliau bina, malah mungkin berhadapan pelbagai pendakwaan dari musuh politiknya seperti DAP dan PKR.

Munculnya isu 1MDB memberikan laluan kepada Mahathir menjadi pemimpin baharu kepada musuh-musuh beliau. Ini mungkin akan dicatatkan sebagai satu strategi politik terulung Mahathir.

Beliau bukan sahaja mencatat sejarah menjadi perdana menteri kali kedua, malah memaksa musuh-musuh politik beliau tunduk dan menelan segala kata-kata nista mereka kepada beliau selama bergenerasi lamanya.

Hari ini, sama ada dalam sejarah kerajaan BN atau kerajaan PH, Mahathir akan tetap dicatatkan sebagai wira negara. Namun kemenangan ini tidak datang dengan segala yang indah-indah.

Mahathir kini berhadapan dilema lebih besar. Kumpulan liberalis, anti Melayu dan Islam, pesimpati komunis dan sosialis, menggunakan kemenangan PH untuk meruntuhkan segala status quo yang sedia ada.

Jika kemenangan Mei 2018 menjadikan legasi Mahathir tidak akan tergugat; hari ini Mahathir berhadapan dilema tangan yang membina itulah yang akan meruntuhkannya.

Jika Mahathir gagal menyatukan masyarakat pribumi dan Islam, segala apa yang beliau pejuang dan bina selama berpuluh tahun lalu akan dilerai dan dimusnahkan.

Malah lebih menyedihkan jika selepas beliau menyerahkan jawatan kepada Anwar pada tahun 2020, bukan sahaja negara ini berubah menjadi sebuah negara liberal, malah beliau bakal dibenci oleh sebahagian besar orang Melayu dan Islam.

Ini bukan ancaman tapi realiti politik hari ini. Dan Mahathir tidaklah boleh mencuci tangan dalam kemerosotan pengaruh pribumi dan Islam dalam pentadbiran negara. Beliau adalah sebahagian daripada punca masalah ini.<

Mahathir ada peluang memulihkan keadaan ini walaupun masa untuk beliau mungkin tidak lagi banyak. Setakat ini pisau dan mentimun masih ditangan beliau, Cuma corak mana potongan yang akan dibuat.

Inilah dilema Mahathir antara keutuhanan masyarakat pribumi dan Islam, dengan ego beliau untuk “membunuh” terus Umno.

Mahathir dalam dilema seperti kata pepatah Melayu “lalu hangus, surut layu.”

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

One thought on “Ini Saat Paling Mencabar & Penuh Dilema Kepada Mahathir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.