Cahaya Itu Bukan Untuk Menunjukkan Salib, Tapi ‘Ong’ – Pemaju

KUALA LUMPUR – Selepas kecoh di media sosial isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, hari ini pemaju bangunan pangsapuri itu tampil memberi maklum balas.

Menurut jurucakap Nova Mulia Development Sdn Bhd yang dipetik The Malaysian Insight, bangunan pangsapuri itu sepatutnya menunjukkan abjad Cina (王) bermaksud wang (raja) atau ong (nasib baik).

Jelas jurucakap itu lagi, oleh kerana gambar diambil ketika bangunan itu masih belum siap sepenuhnya, ia kebetulan kelihatan seperti salib.

“Mungkin bila gambar diambil, cahayanya menunjukkan salib. Tetapi cahaya itu sepatutnya bukan untuk menunjukkan salib,” beliau dilaporkan berkata.

Menurut jurucakap itu, dua garisan cahaya, di bahagian bawah dan atas masih belum kelihatan ketika dirakam dalam gambar yang tular itu.

Difahamkan, pembinaan bangunan itu sudah mencapai tahap 90 peratus.

Baru-baru ini heboh di media sosial mengenai kewujudan lambang salib di bangunan pangsapuri baharu itu sehingga ia menjadi perbincangan hangat netizen.

Malah ia turut digelar sebagai ‘lambang salib paling besar di dunia’.

Imej salib itu terhasil daripada pancaran cahaya mengikut rekaan bangunan tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan negeri untuk menyelesaikan segera isu tersebut selain meminta pihak berkuasa segera mengarahkan pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu supaya tidak kelihatan seperti lambang salib. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.