Pelik Alasannya, ‘Sukarelawan’ PH Datang Naik Bas Tapi Dapat Duit Minyak – MCA

CAMERON HIGHLANDS – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempertikaikan alasan Pakatan Harapan (PH) kononnya wang yang diberikan kepada sekumpulan pemuda ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah duit minyak.

Menurutnya, alasan itu tidak wajar kerana beliau difahamkan sukarelawan yang datang ke pusat penamaan calon di Tanah Rata di sini pada Sabtu lalu dibawa menaiki bas.

Beliau berkata, jadi adalah pelik apabila sukarelawan tersebut diberikan duit kerana mereka tidak menggunakan kenderaan sendiri.

“Saya dimaklumkan oleh masyarakat di sini, semasa mereka (sukarelawan) pergi pusat penamaan calon, dia (PH) bawa berbas-bas dan mereka beri makan.

“Jadi tak kan orang yang berjalan kaki nak pakai minyak, mereka nak pam minyak di mana? Kalau nak bagi alasan pun bagilah yang logik sikit, macam mana orang berjalan kaki nak tuang minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan dialog dengan pengundi masyarakat Cina di Ringlet di sini hari ini.

Secara menyindir Ka sing berkata, mungkin duit yang diberikan oleh PH itu untuk ‘minyak sawit’ atau ‘minyak wangi untuk sukarelawan yang dimaksudkan.

“Saya pun tak tahu duit itu untuk minyak apa. Mungkin minyak sawit, minyak wangi atau mungkin juga minyak angin,” ujar beliau.

Ka Siong turut mempertikaikan pemberian wang tersebut kepada mereka yang bergelar sukarelawan kerana istilah sukarelawan itu bermaksud seseorang yang memberikan khidmat secara sukarela.

“Kalau begitu bolehlah tukar tafsiran sukarelawan ialah ‘seseorang yang menawarkan perkhidmatan tetapi mengharapkan duit minyak. Itu cadanganlah kalau itu maksudnya,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.