Penguatkuasa MBAS Dibaling Bom Petrol

ALOR SETAR – Operasi merobohkan gerai haram oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Jalan Datuk Kumbar, di sini, terhalang apabila sepasukan penguat kuasa bertugas dibaling bom petrol.

 

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan kelengkapan memotong besi milik MBAS bernilai hampir RM10,000 hangus terbakar. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

 

Ketua Bahagian Penguat Kuasa MBAS, Saifullizam Othman, berkata pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan pihak tertentu menghalang pihaknya menjalankan penguatkuasaan.

 

“Kami sudah memberi amaran bertulis bulan lalu dan secara lisan semalam kepada pemilik gerai berkenaan, namun dia ingkar. Atas sebab itu, kami terpaksa melakukan operasi meroboh gerai terbabit,” katanya.

 

Difahamkan, gerai makan itu dibuka secara haram menggunakan kayu dan beratap nipah di atas tanah milik PLUS di bawah jejambat Lebuhraya Utara Selatan, termasuk menyediakan hiburan karaoke kepada pengunjung.

 

Terdahulu, berlaku kekecohan ketika operasi berjalan apabila seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan gerai terbabit menghalang tugas pihak berkuasa.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.