Tak janji satu lagi ‘Rangel’

Shah Alam: Pengendali Selangor Mehmet Durakovic tidak mahu memberikan harapan menggunung kepada peminat Merah Kuning untuk ‘mencipta’ seorang lagi Paulo Rangel buat naib juara Liga Super 2014 berkenaan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Bekas penyerang Selangor dari Brazil itu membantu Merah Kuning muncul naib juara Liga Super musim lalu selain muncul penjaring terbanyak dengan 16 gol.

“Secara jujurnya apa yang dilakukan Rangel musim lalu untuk Selangor sesuatu yang sangat bagus. Begitu juga sumbangan S Kunanlan dan Mohd Farizal Marlias. Ketiga-tiganya penting untuk pasukan, namun mereka meninggalkan Selangor selepas mendapat tawaran lebih baik. Bola sepak pada masa kini adalah perniagaan.

“Saya tidak boleh berjanji untuk ‘mencipta’ seorang lagi Rangel musim ini, namun saya boleh berjanji pemain akan memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan,” kata Durakovic selepas sesi latihan di Padang SUK Shah Alam, semalam.

Rangel bertindak meninggalkan Selangor untuk menyertai Terengganu selepas tidak puas hati berhubung bayaran melanjutkan kontrak dengan Kunanlan dan Farizal memilih untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Ditanya mengenai pengganti Rangel, Durakovic berkata, beliau sangat berpuas hati dengan prestasi dipamerkan Guilherme de Paula termasuk tiga pemain import yang lain.

Bagaimanapun dia gagal meledak jaringan pada saingan Piala Walikota Padang di Indonesia minggu ketika Rangel terus membuktikan kemampuannya dengan meledak hatrik ketika membantu Terengganu menewaskan LionsXII dalam aksi persahabatan beberapa hari lalu.

“Kami perlu berusaha keras dengan pemain dimiliki. Saya memiliki ramai pemain, namun kurang berpengalaman. Itulah kenyataannya, namun kami akan berjuang sepenuh hati musim ini, seperti musim lalu apabila kami kehilangan 80 hingga 85 peratus pemain utama.

“Kami perlu membaiki setiap posisi dengan pemain yang terbaik akan diturunkan. Bukan mudah berdepan pasukan mempunyai peruntukan kewangan besar namun kami akan mencuba,” jelas bekas kapten Selangor itu.

-Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.