Ratu Dangdut Amelina Tetamu Jom Chat Malam Ini

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Ratu Dang­dut, Amelina yang menghilangkan diri daripada persada hiburan tanah air sejak sekian lama, akan menjadi tetamu program bual santai Jom Chat di portal berita Utusan Online malam esok.

 

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin pernah menggegarkan dunia hiburan tanah air dengan irama dangdut kontemporari di era 90-an sehingga mendapat gelaran Ratu Dangdut sebelum beliau tiba-tiba menghilangkan diri ketika namanya berada di puncak.

 

Pada zaman kegemilangannya, Amelina yang turut berduet bersama Raja Dangdut, Iwan pernah mencapai jualan album melebihi 500,000 unit iaitu antara pencapaian tertinggi yang dicatatkan oleh seseorang penyanyi tanah air.

 

Malahan, fenomena dangdut kontemporari yang dibawakan Amelina menjadi kegilaan pada masa itu bahkan pernah mendapat pengiktirafan Ratu England ketika baginda berkunjung ke Malaysia sempena pembukaan Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada tahun 1998.

 

Selepas 15 tahun, kini penyanyi itu membuat kemunculan semula dan kesempatan itu turut diambil oleh Utusan Online untuk menjadikan beliau tetamu Jom Chat iaitu program bual santai mingguan bersama selebriti yang semakin popular di Utusan Online.

 

Justeru, peminat artis tersebut serta orang ramai yang mahu mengetahui perkembangan Amelina pada masa kini serta lain-lain perkara yang ingin diketahui mengenainya boleh mengajukan soalan kepada Amelina menerusi ikon ‘Jom Chat dengan Amelina’ di Utusan Online.

 

Soalan-soalan tersebut akan dijawab oleh Amelina sendiri dalam program itu yang akan disiarkan secara langsung menerusi Utusan Online www.utusan.com.my mulai pukul 9 malam. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.