Piala Asia 2015: Stielike akui Korea Selatan bukan lagi pencabar terkuat Piala Asia

Canberra: Kemenangan ‘bernasib baik’ ke atas Kuwait gagal melonjakkan semangat jurulatih Korea Selatan Uli Stielike apabila menganggap pasukannya yang tidak berada pada prestasi terbaik serta dilanda kecederaan, bukan lagi pencabar takhta Piala Asia.

 

Nam Tae-hee menjaringkan gol kemenangan aksi yang berlangsung dalam hujan lebat pada minit ke-36 di Stadium Canberra untuk menempah tiket ke suku akhir selepas dua kemenangan daripada dua aksi Kumpulan A, tetapi jurulatih berbangsa Jerman itu menganggap anak buahnya memberikan persembahan hambar dan tidak harus meraikan kemenangan melangkah ke kelompok lapan terbaik.

 

“Saya benci untuk mengakuinya, tapi Kuwait pasukan yang lebih baik dari pelbagai aspek,” kata Stielike kepada wartawan. “Mereka bekerja keras untuk mendapatkan bola dan membuat hantaran lebih baik. Kami hanya bernasib baik hari ini.

 

“Kuwait jauh lebih agresif dan bermain gaya bola sepak yang berbeza sama sekali. Kami bercakap banyak mengenai pencabar kami dan fikir sudah bersedia untuk menghadapi mereka, tapi Kuwait sebaliknya yang lebih baik.”

 

Stielike yang mengambil alih tugas mengendalikan Korea Selatan pada lewat September, menampilkan wajah kecewa di garisan tepi padang ketika pasukan Asia Barat itu semakin yakin menguji barisan pertahanan lawan yang mula goyah.

 

Mood Stielike sebelum ini sudah merudum selepas permata skuadnya yang juga penyerang Bayer Leverkusen, Son Heung-min dan pemain terbaik perlawanan ketika menentang Oman, Koo-Ja-cheol dilanda demam.

 

Pemain tengah Lee Chung-yong pula dikesan mengalami keretakan tulang kering dan mungkin diketepikan untuk baki perlawanan manakala pertahanan Kim Chang-soo dilanda masalah paha.

 

“Saya membawa 18 pemain ke stadium, tapi hanya 14 boleh bermain,” kata Stielike mengenai isu kecederaan membabitkan pasukannya. “Saya tidak fikir kami berhempas pulas dengan teruk cuma perlawanan ini begitu sukar.”

 

Penjaga gol Kim Jin-hyeon turut dilanda selesema, tapi Stielike optimis kesemua mangsa demam itu akan kembali beraksi ketika menentang tuan rumah Australia dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, Sabtu ini.

 

Perlawanan menentang Socceroos yang membenam Oman 4-0 untuk mara ke suku akhir, akan menjadi perlawanan besar pertama kejohanan ini.

 

Tapi bekas pertahanan Real Madrid itu merasakan pasukannya yang memburu takhta Piala Asia ketiga dan pertama sejak 1960, tidak harus dianggap berpotensi juara.

 

“Selepas perlawanan ini, kami bukan lagi pencabar takhta,” kata Stielike. “Kami akan mempunyai banyak masalah jika bermain seperti hari ini.”

-Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.