Pemilik Kapal Nelayan Yang Diletupkan Nafi Ceroboh Perairan Indonesia

Pemilik kepada kapal nelayan yang diletup dan ditenggelamkan pihak berkuasa Indonesia, Huang Hui De (nama mengikut sistem pinyin) menegaskan sekali lagi bahawa kapalnya tidak pernah menceroboh perairan Indonesia.

 

Hui De sebaliknya menyatakan bahawa kapalnya ditenggelamkan selepas pihak tertentu gagal memeras RM180,000 daripadanya.

 

Menurutnya, sistem kedudukan sejagat (GPS) yang dipasangkan pada kapal merupakan bukti terbaik bahawa aset miliknya itu berada di perairan Malaysia,

 

Dakwanya, ketika hari kejadian pada sebulan lalu, pihak Indonesia telah menceroboh perairan Malaysia dan menarik kapal miliknya ke perairan negara jiran.

 

Jelasnya, pada masa kejadian terdapat empat kapal berada di lokasi berhampiran di mana dua buah adalah miliknya.

 

“Saya dihubungi oleh pekerja bahawa sebuah lagi kapal telah ditarik, turut dibawa bersama ialah empat pekerja warganegara Myanmar,” katanya seperti dipetik China Press.

 

Hui De berkata, dirinya kemudian cuba mengadakan rundingan melalui orang tengah sebelum diminta membayar RM180,000 sebagai yuran pembebasan kapal.

 

“Rundingan tidak berjaya kerana saya hanya berjaya mengumpulkan RM150,000.

 

“Saya tidak dimaklumkan bahawa kes ini telah dibawa ke mahkamah dan langsung tidak berpeluang untuk membela diri,” katanya.

 

Menurutnya lagi, kapalnya dilengkapi ‘kotak hitam’ seperti diarahkan Jabatan Perikanan dan kelengkapan itu digunakan untuk menyemak kedudukan kapal.

 

“Maklumat GPS menunjukkan kapal saya tidak memasuki perairan Indonesia tetapi alat ini kemudian dipercayai telah dipadamkan, ia muncul di destinasi terakhir di Indonesia.

 

“Saya hanya dimaklumkan pada 8 Januari oleh pihak berkuasa Malaysia bahawa kapal ini telah diletupkan,” katanya.

 

Kapal dengan nombor pendaftaran PKFA7738 tersebut dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa Indonesia di sekitar Pulau Pandang, Sumatera Utara pada 9 Disember tahun lalu.

 

Kapal itu kemudian ditenggelamkan oleh pihak berkuasa Indonesia pada 8 Januari selari dengan keputusan mahkamah di Medan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.