Paulsen Tidak Hormat Sensitiviti Islam: Jamil Khir

IPOH – Tuduhan yang dibuat oleh Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen yang menyatakan penyebaran fahaman ekstremisme melalui khutbah Jumaat disifatkan sebagai memperlekeh Islam sebagai agama Persekutuan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kontroversi yang dicetuskan Eric itu memberi kesan negatif terhadap umat Islam yang merupakan kelompok majoriti di negara ini dan beliau tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

 

Menurutnya, Eric sewajarnya tidak `melibatkan diri’ atau mencampuri dalam perkara-perkara seperti itu, memandangkan khutbah Jumaat merupakan rukun dalam solat Jumaat.

 

“Saya nak tanya, di mana bukti atau fakta menyatakan khutbah Jumaat kita menganjurkan ekstremisme seperti yang didakwa oleh Eric kerana teks khutbah ini disiarkan setiap minggu di laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kalau Jakim yang beliau maksudkan.

 

“Dalam khutbah Jumaat juga dirukunkan supaya memberi nasihat kepada orang ramai malah teks khutbah disediakan oleh jabatan agama Islam negeri masing-masing dan semuanya cukup tersedia serta bertujuan memberi pesanan kepada jemaah. Ia jelas,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan banjir RM300,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada kerajaan negeri di sini, semalam.

 

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Exco Datuk Saarani Mohamad dan Datuk Mohd Nizar Zakaria.

 

Mengulas lanjut mengenai kontroversi membabitkan perlakuan segelintir peminat ketika penganjuran konsert kumpulan K-Pop, B1A4 di ibu negara baru-baru ini, kerajaan telah meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan siasatan.

 

“Saya minta kepada semua pihak (berkaitan) tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum kepada mereka yang berkenaan dan apa-apa pun kita tunggu tindakan daripada Jawi melalui siasatan yang mereka lakukan.

 

“Sensitiviti agama itu satu perkara yang penting apatah lagi dalam konteks negara kita yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Ia juga berkait dengan tatasusila, kesopanan dan budaya berhubung kait dengan hukum agama malah masyarakat kita amat sensitif dengan hal ini,” tegasnya lagi.

 

Ketika ditanya mengenai al-Quran yang terjejas berikutan tragedi banjir baru-baru ini, Jamil Khir memberitahu, inisiatif telah diambil oleh majlis agama Islam negeri terlibat supaya mengumpulkan kitab-kitab yang telah rosak untuk dilupuskan.

 

“Jika setiap negeri yang terlibat mempunyai masalah untuk pelupusan, kita tawarkan ia dilakukan di Wilayah Persekutuan dan di Terengganu juga ada mempunyai mesin yang beroperasi untuk menyelenggarakan al-Quran dengan sebaik mungkin bagi tujuan pelupusan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.