Nizar Lepas Tanpa Bebas Atas Tuduhan Fitnah Perdana Menteri

Ipoh – Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pertuduhan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hampir tiga tahun lepas.

 

Hakim Rihaida Rafie membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal pembelaan diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang membangkitkan isu siapa yang sepatutnya membuat aduan dalam kes berkenaan.

 

Dalam penghakimannya, Rihaida berkata mahkamah menerima hujah Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud bahawa mengikut Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah, aduan orang yang teraniaya boleh dibuat oleh Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya.

 

Bagaimanapun, beliau memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes ini adalah cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa yang sebenarnya membuat aduan, iaitu sama ada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Hanafiah Zakaria atau Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud.

 

Rihaida juga berkata berdasarkan saman yang dikeluarkan mahkamah terhadap Mohammad Nizar, borang aduan kes itu ditandatangani seorang pegawai polis iaitu Asisten Suprintendan Zulkarnain.

 

“Jadi mahkamah mendapati ada pelanggaran terhadap Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah (yang memperuntukkan bahawa aduan perlu dibuat oleh Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya).

 

“Oleh itu, mahkamah membenarkan bantahan awal pembelaan dan tiada pilihan selain melepas tanpa membebaskan OKS (orang kena saman),” katanya.

 

Semalam, Mohd Yusof berhujah dalam kes ini, memandangkan Perdana Menteri tidak membuat aduan, maka orang yang sepatutnya berbuat demikian ialah Pendakwa Raya atau Peguam Negara.

 

Beliau berkata jika mahkamah tidak menerima hujah itu dan memutuskan bahawa Timbalan Pendakwa Raya juga boleh membuat aduan, maka mahkamah perlu menimbang fakta bahawa borang aduan dalam kes ini ditandatangani Asisten Suprintendan Zulkarnain, iaitu pegawai penyiasat kes berkenaan.

 

Dalam hujahnya, Mohd Masri memaklumkan bahawa meskipun borang aduan dalam kes ini ditandatangani Asisten Suprintendan Zulkarnain, Jabatan Peguam Negara menyertakan satu lampiran yang ditandatangani beliau.

 

Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata nama Hanafiah turut ada dalam lampiran yang ditandatangani Mohd Masri, jadi isu yang timbul ialah siapa pengadu sebenar dalam kes ini.

 

Mohammad Nizar, 58, yang beralamat di Sungai Rokam di sini didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.

 

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

 

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Mohammad Nizar diwakili 13 peguam yang diketuai Mohd Yusof manakala pihak pendakwaan diwakili Mohd Masri, yang juga Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak, dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.