Misteri Motif Dan Sebab Masih Tidak Selesai – Surendran

Kuala Lumpur – Walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar bersalah membunuh warga Mongolia, Naib Presiden PKR, N Surendran mempertikaian motif pembunuhannya.

 

Dakwanya, walaupun keputusan sudah dibuat oleh panel lima hakim, motif pembunuhan Altantuya masih kekal misteri.

 

“Jangan hilangkan misteri itu. Di sebalik keputusan itu (hukuman gantung sampai mati), misteri motif dan sebab pembunuhan Altantuya Shaaribu masih tidak diselesaikan dan masih tidak diketahui,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Pusat Komas, Petaling Jaya.

 

Sembilan tahun lalu, Altantuya telah diletupkan di tengah-tengah hutan, dan jejaknya telah membawa kepada beberapa personaliti berpengaruh, iaitu penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

 

Bagaimanapun Najib telah bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan perkara (pembunuhan) tersebut.

 

Pagi tadi panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mendengar perbicaraan rayuan pihak pendakwa telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

 

Keputusan tersebut mengukuhkan lagi kaitan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu dengan kematian wanita Mongolia itu.
Keputusan tersebut dibaca oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

 

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

 

Suryadi Halim ketika membaca keputusan berkata, panel turut menerima rayuan pihak pendakwaan berjaya membukikan kes melampaui keraguan munasabah. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.