Marina Mahathir Dilarang Memasuki Sebuah Universiti Awam

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir mendakwa beliau telah dilarang dari memasuki sebuah universiti awam bagi memenuhi sebuah jemputan untuk menghadiri acara di situ, awal hari ini.

 

Menurut Marina menerusi akaun Facebooknya, ini merupakan kali kelima beliau dihalang dari memasuki universiti awam.

 

“Ini dah masuk kali kelima saya ‘dilarang’ dari memasuki universiti awam. Mungkin saya seorang yang sangat berkuasa,” kata Marina di laman Facebooknya.

 

Beliau telah diberitahu oleh penganjur program bahawa pihak universiti tidak membenarkannya masuk serta pendekatan yang sama turut diambil institusi-institusi pengajian tinggi awam yang lain.

 

Namun begitu, beliau mengalu-alukan pelajar dari pihak universiti yang membuat larangan terhadapnya itu, untuk duduk berbual dengannya pada bila-bila masa.

 

Marina dijangka mengadakan ceramah di sebuah kolej swasta esok (Rabu).

 

Minggu lalu, pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) dilaporkan telah mengeluarkan perintah melarang kakitangan mereka menganjurkan sebarang aktiviti berbau politik di dalam dan luar negara.

 

Perintah larangann ini dikeluarkan berikutan kejadian pada 28 Oktober yang melibatkan seramai 1,000 pelajar dari merempuh masuk pintu pagar UM untuk memasuki kawasan Dewan Tunku Canselor bagi menyertai perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di premis universiti tersebut.

 

Pada masa yang sama, Anwar telah dilarang dari memasuki kawasan kampus universiti tersebut.

 

Susulan itu, Lembaga Tatatertib UM telah mengambil tindakan terhadap lapan pelajarnya yang didakwa telah menganjur dan mengadiri ‘perhimpunan haram’ pidato ’40 Tahun: Dari UM ke Penjara’.

 

Pada Oktober, profesor undang-undang Dr Azmi Sharom juga telah dilaporkan dihalang dari memasuki premis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.