‘Lebih Selesa Tinggal Dalam Khemah’

GUA MUSANG – Seramai 98 keluarga mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal dalam banjir besar, 23 Disember lalu, berpindah ke khemah di Bandar Utama secara berperingkat mulai Ahad lepas.

 

Adun Galas, Ab Aziz Yusof berkata, pemindahan mereka dari pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 2 (SMKTIP2) dibantu oleh pelbagai pihak.

 

Katanya, ia bagi mengelak kesesakan di kawasan penempatan sementara itu dan mereka juga telah tersenarai menduduki khemah tersebut sebagaimana dijanjikan untuk tempoh tiga bulan sebelum dibina rumah panjang.

 

“Diharap keluarga terbabit selesa kerana khemah yang disediakan berkualiti tinggi.

 

“Yang belum siap hanyalah pembinaan khemah tempat memasak tetapi sudah di peringkat akhir dan dijangka boleh digunakan esok. Kemudahan tandas dan bilik mandi telah siap dipasang, dan kita hanya ada baki dua khemah lagi iaitu rizab jika ada mangsa banjir lain yang berminat tinggal di situ,” kataya kepada pemberita ketika meninjau mangsa banjir terbabit di Bandar Utama, di sini, petang semalam.

 

Ab Aziz berkata, bukan semua mangsa banjir ditempatkan di khemah berkenaan kerana baki 40 keluarga lagi ditempatkan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani.

 

Menurutnya, mangsa banjir yang memilih untuk tinggal di kem tersebut membabitkan penduduk dari  Kampung Kundur, Kerinting, Nerang dan Batu Papan kerana tidak jauh dari kampung asal.

 

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Siti Hamidah Mamat, 63, dari Kampung Tiong berkata, dia sekeluarga mula ditempatkan di khemah berkenaan, Ahad lalu.

 

“Dah dua malam tinggal di khemah dan ia amat selesa berbanding tinggal di pusat pemindahan di SMKTIP2. Ia lengkap dengan tilam, bantal dan selimut.

 

“Kemudahan asas juga disediakan termasuk elektrik, air dan bilik mandi tanpa perlu berebut kerana ia disediakan ikut blok dan diasingkan lelaki dengan wanita,” katanya.

 

Siti Hamidah berkata, dia bersyukur nasib mangsa banjir dapat pembelaan kerajaan dengan menyediakan tempat tinggal baharu walaupun hanya khemah sementara sebelum ditempatkan di penempatan baharu. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.