Kita Serah PAS Negeri 
Bincang Dengan DAP – Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pas negeri untuk membincangkan usaha bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh parti itu dengan rakan pakatannya di negeri ini.

 

“Kita serahkan kepada Pas negeri untuk berunding dengan DAP. Selepas itu, kita akan mendapatkan maklum balas daripada Pas Sarawak,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

 

Beliau diminta mengulas menge­nai kemelut yang dihadapi Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Sarawak ekoran isu persefahaman berhubung pelaksanaan hukum hudud.

 

Pada Oktober tahun lalu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen memberitahu, mereka akan meninggalkan pakatan jika kumpulan ulama Pas yang memperjuangkan hukum hudud menguasai parti itu selepas pemilihan parti pada Jun tahun ini.

 

DAP Sarawak juga telah menghentikan semua komunikasi dengan Pas dan PKR sehingga mereka menjelaskan pendirian berhubung pelaksanaan hukum hudud.

 

Hubungan keruh antara parti pembangkang itu semakin jelas apabila tiada wakil DAP hadir pada mesyuarat ketiga pakatan yang diadakan di sini pada November tahun lalu yang membincangkan mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya­ Ne­geri (PRN) ke-11.

 

Ditanya sama ada masalah itu akan dibawa untuk dibincangkan ke Majlis Tertinggi pakatan, Abdul Hadi memberitahu, perkara tersebut hanya diputuskan selepas pihaknya mendapatkan maklum balas terperinci terlebih dahulu. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.