Kes Bunuh & Kerat: Sembilan Lelaki Myanmar Mengaku Tidak Bersalah

Sembilan warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyebabkan kematian lima orang rakan senegara dan mengadakan perhimpunan haram pada September, Oktober dan November tahun lalu.

 

Kesemua tertuduh tidak membuat sebarang pengakuan dan mahkamah menetapkan 30 Januari ini untuk sebutan semula kes tersebut.

 

Mereka juga akan dituduh di Mahkamah Butterworth, petang ini.

 

Semua sembilan warga Myanmar terbabit mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar dan Hakim Mahkamah Sesyen, M Vijayalakshmi, selepas tiga pertuduhan berbeza, semuanya di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan kerana terbabit perhimpunan haram serta Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dibacakan kepada mereka.

 

Sembilan tertuduh terbabit ialah Mohd Rafi, Hafiz Ahmad, Habibullah, Ali, Soe Maung Maung, Mohd Rafik, Bilal Mohamad Ghulam, Yasin dan Husin.

 

Mereka pada mulanya dituduh di Mahkamah Majistret bagi pertuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan haram serta menyebabkan kematian seorang lelaki warga Myanmar, Myo Aung dan seorang lagi lelaki warganegara sama yang tidak dikenali, di No 5775, PBA-R Kampung Pisang, Cherok To’Kun, antara jam 8 hingga 9.30 malam, 23 Nov, 2014.

 

Kemudiannya di Mahkamah Sesyen, empat daripada mereka – Bilal, Mohd Rafik, Ali dan Hafiz didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dan menyebabkan kematian Kyaw Tan Hla, 35, dan Tun Yne Maung, 28, pada jam 10 malam, di Kampung Manggis Tanah, di Machang Bubok, pada 14 Sep 2014.

 

Bilal, Mohd Rafik dan Hafiz juga didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dan menyebabkan kematian Htoo Aung, 35, di No 8, Lorong Impian Ria 3, Raman Impian Ria, Machang Bubok pada jam 12.45 pagi, 15 Okt 2014.

 

Jika sabit kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum mati mandatori.

 

Semua kes membabitkan mereka akan disebut semula pada 30 Januari nanti.

 

Kesemua sembilan lelaki warga Myanmar terbabit tidak diwakili peguam.

 

Untuk rekod, kejadian pembunuhan warga Myanmar berlaku secara berleluasa, malah anggota tubuh mangsa dikerat dan dilupuskan di merata tempat di Pulau Pinang memaksa polis menubuhkan satu pasukan khas serta melancarkan operasi khas dengan nama kod ‘Ops Kelar’ bagi menyiasat dan memburu penjenayah yang terbabit. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.