Kerjasama Ketenteraan Malaysia-China Bantu Perangi Kegiatan Militan

KUALA LUMPUR: Kerjasama dan hubungan ketenteraan antara Malaysia dan China membantu dalam usaha memerangi kegiatan militan di rantau ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

 

Beliau berkata bagi memastikan rantau ini selamat daripada ancaman keganasan militan, kerjasama dengan negara lain adalah perlu terutamanya berkaitan aspek perisikan.

 

“Malaysia dan China bekerjasama dalam bidang perisikan dan juga bidang lain bagi memerangi kegiatan militan yang meningkat sejak baru-baru ini.

 

“Kami sebenarnya memperluaskan hubungan dengan hampir semua negara dalam isu berkaitan keganasan, kerana keganasan merupakan isu global,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis syarahan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) 10/2015 di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin sejak lebih 40 tahun lepas, bukan sahaja memberi kesan positif dalam bidang ekonomi dan sosial, malah ia juga dapat memastikan rantau ini sentiasa selamat.

 

“Jadi kerjasama yang terjalin dalam bidang ketenteraan bertujuan meningkatkan pertalian dan pemahaman antara kedua-dua negara bagi memastikan rantau ini sentiasa selamat,” katanya.

 

Mengenai majlis berkenaan, Abdul Rahim berkata program syarahan bersiri yang dilaksanakan secara berkala dengan kekerapan tiga atau empat kali setahun itu bertujuan membicarakan isu semasa dalam bidang pertahanan dan keselamatan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!