Karikatur Hina Nabi: Mufti Mesir Beri Amaran Kepada Charlie Hebdo

KAHERAH: Mufti Besar Mesir memberi amaran kepada akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo supaya tidak menyiarkan karikatur terbaharu menghina Nabi Muhammad SAW kerana tindakan itu adalah rasis dan boleh mencetuskan kebencian serta mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia.

 

Charlie Hebdo akan menyiarkan karikatur berkenaan di muka depan dalam edisi pertamanya sejak serangan di pejabat akhbar mingguan itu Rabu lalu yang menyebabkan 12 orang terbunuh.

 

“Edisi ini akan menyebabkan gelombang baharu kebencian di Perancis dan masyarakat Barat amnya…. Ini adalah provokasi yang tidak wajar terhadap perasaan…umat Islam di seluruh dunia,” kata Mufti Besar Mesir, Shawqi Allam.

 

Seramai 17 orang terbunuh dalam tempoh tiga hari keganasan yang bermula apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan di pejabat Charlie Hebdo.

 

Berikutan peningkatan permintaan, Charlie Hebdo merancang untuk mencetak tiga juta naskhah edisi itu, sekali gus mengatasi edaran biasa sebanyak 60,000 naskhah.

 

Mufti Besar itu menyifatkan serangan terhadap Charlie Hebdo sebagai “keganasan” manakala Al-Azhar menyifatkannya sebagai perbuatan jenayah.

 

Pejabat Mufti Besar itu juga menggesa kerajaan Perancis menolak apa yang disifatkan sebagai “perbuatan rasis” oleh Charlie Hebdo dan mendakwa akhbar itu cuba mencetuskan “persengketaan agama…dan meningkatkan kebencian”.

 

Muka depan edisi 14 Januari akhbar itu menunjukkan karikatur yang berlinangan air mata sambil memegang tanda “Je suis Charlie” (“Saya Charlie”) di bawah tajuk “Tout est pardonne” (“Semuanya diampunkan”). – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.