Judi Haram Di Kondo Mewah Tumpas

Taktik licik sindiket perjudian terancang yang bero­perasi di sebuah kondominium mewah di Kelana Jaya terbongkar apabila diserbu sepasukan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) tiga hari lalu.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Saleh berkata, taktik tersebut disifatkan sebagai trend terbaharu sindiket perjudian haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

 

“Premis yang diserbu itu merupakan sebuah kondomi­nium mewah yang dikawal rapi oleh pengawal keselamatan dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

 

“Ini merupakan cabaran baharu yang dihadapi PDRM. Namun, kami yakin dengan kekuatan pasukan Stagg yang ditubuhkan sejak sebulan lalu mampu mengatasi masalah seumpama ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

 

Dalam operasi yang dijalankan pada pukul 12.15 malam itu, seramai 18 orang pelanggan warga tempatan terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk dua penganjur premis tersebut ditahan ketika leka berjudi.

 

Turut dirampas, sejumlah wang tunai RM10,220, 598 keping cip judi pelbagai nilai, tiga buah meja perjudian serta 30 buah kerusi yang digunakan pelanggan.

 

Menurut Mohamad, premis tersebut disyaki beroperasi selama enam bulan dan hanya menyasarkan pelanggan terpilih.
“Hasil siasatan, kita mendapati kumpulan ini mengaut keuntu­ngan sehingga RM80,000 sebulan di samping menyasarkan golongan yang berpendapatan tinggi dan orang-orang kenamaan untuk berjudi di premis itu.

 

“Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak mele­bihi tiga tahun,” katanya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.