Jones percaya United masih ada peluang juara EPL

London: Phil Jones (gambar) tegas mengatakan Manchester United tidak pernah menyerah kalah dalam usaha mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

 

Rekod 11 perlawanan tanpa kalah United lebur Ahad lalu apabila mereka ditewaskan 1-0 oleh Southampton dan lebih menyedihkan ia berlaku di Old Trafford.

 

Kekalahan itu bermakna United kini menduduki tangga keempat liga dan skuad kendalian Louis van Gaal itu 12 mata di belakang Chelsea yang memiliki kelebihan dua mata berbanding pasukan tangga kedua, Manchester City.

 

Jentera serangan United dilihat agak berkarat, tetapi Jones menegaskan, silap sekiranya ada pihak menafikan peluang mereka untuk muncul juara jika hanya berdasarkan kekalahan Ahad lalu.

 

Ketika ditanya sama ada kekalahan itu menyukarkan mereka untuk mengejar Chelsea atau City, pertahanan United itu berkata: “Tidak. Anda sendiri pernah melihat pasukan tercicir mata. Saya rasa Chelsea pernah jauh meninggalkan City dan kini mereka hanya dibezakan dengan dua mata saja. Itulah bola sepak.

 

“Permainan ada masanya turun naik. Anda tidak akan tahu siapa akan tercicir mata. Itulah yang membuat kami rasa masih ada harapan, tetapi paling penting, kami perlu bermain baik berbanding pasukan lain.”

 

Jones turut mengakui United masih menyesuaikan diri dengan tiga pemain pertahanan, selepas pengurus Southampton Ronald Koeman berkata, taktik Van Gaal itu mengakibatkan bekas juara itu sukar untuk melancarkan serangan.

 

Jones antara pemain yang paling banyak menerima kesan perubahan taktik berkenaan dan dia berkata, mereka kerap melakukan kesilapan dalam usaha menyesuaikan diri dengan formasi itu.

 

“Mungkin kami ada melakukan kesilapan hantaran di bahagian pertahanan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

 

“Ia adalah antara proses pembelajaran kami. Kejayaan tidak akan hadir dalam tempoh satu hari. Kami sudah semakin meningkat dalam sesi latihan dan pasti menjadi lebih baik,” katanya.

-Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.