Hadi Awang Harus Kekal Sebagai Presiden PAS

IPOH – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus kekal menerajui parti itu biar pun terdapat suara sumbang mahu ketepikan kepimpinan ulama di dalam Pas.

 

Presiden Geng Ustaz, Norazli Musa berkata, kenyataan seorang individu yang mencadangkan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan pada muktamar akan datang merupakan sebahagian langkah untuk menggagalkan gerakan Islam untuk terus berkembang.

 

“Kami sedar cetusan ini adalah provokasi politik murahan. Kami mengambil peluang daripada isu ini untuk menyedarkan penggerak gerakan Islam isu yang dipropagandakan sekarang adalah sebahagian langkah untuk mencacatkan kemajuan gerakan Islam yang sedang dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

 

“Sebagai sebuah pertubuhan yang menyokong aktiviti Islam dan kepimpinan Islam, saya sebagai Presiden Geng Ustaz ingin menyatakan bahawa Abdul Hadi adalah permata Islam di bumi Malaysia yang tiada galang ganti,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

 

Norazli berkata, bukan sahaja di negara ini, Abdul Hadi turut menjadi rujukan politik Islam seluruh dunia selain diberi penghormatan untuk menyelesaikan masalah umat Islam di Timur dan Barat.

 

Menurutnya lagi, Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, mempunyai peranan besar dalam mendamaikan sengketa di Selatan Filipina, Acheh dan Yaman selain turut mencari penyelesaian kepada permasalahan Timur Tengah terutama di Palestin dan Syria.

 

“Adalah amat tidak wajar, seorang yang menjadi rujukan dunia, tetapi kita di tanah air ini tidak mengambil faedah dari kepimpinan beliau. Oleh yang demikian, dalam kita meraikan suara demokrasi pemilihan kepimpinan Islam, kita juga perlu beradab dan memegang panduan Islam sepenuhnya.

 

“Cubaan lari dari landasan kepimpinan begini, amat merugikan seluruh dunia gerakan Islam,” katanya lagi.

 

Beliau berkata, Geng Ustaz mengajak pencinta gerakan Islam di negara ini supaya berdiri kukuh di belakang Abdul Hadi untuk memimpin gerakan dakwah dan politik Islam sehingga ke akhirnya.

 

Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas, Zulhazmi Sharif dalam laman Facebooknya sebelum ini, mencadangkan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017, yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

 

Beliau, yang juga calon Ketua Pemuda Pas pada muktamar 2013 berkata, ini kerana Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti dan tidak wajar pada masa sama bertanding jawatan lebih rendah (presiden) bagi mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.